Serangan dron Iran ke atas Israel ialah permulaan perang baharu - Pakar
Azib Zikry
April 14, 2024 13:25 MYT
April 14, 2024 13:25 MYT
KUALA LUMPUR: Pelancaran serangan dron Iran ke atas Israel, jelas satu petanda detik permulaan kepada sebuah perang yang baharu.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Salawati Mat Basir berkata, serangan itu hanyalah suatu permulaan.
Ini kerana katanya, kuasa-kuasa besar yang berselindung di sebalik kedua-dua buah negara akan mula menunjukkan sokongan mereka dari semasa ke semasa, termasuk Rusia, China dan Kesatuan Eropah (EU).
“Dalam undang-undang antarabangsa jelas ia adalah satu peperangan sudah berlaku antara Israel dan Iran.
“Cuma jarak geografi merentasi beberapa negara yang bersekutu dengan Israel.
“Jadi di sini kita akan lihat, kuasa-kuasa besar yang berada di belakang Israel akan terus menerus bersekongkol seperti beberapa negara EU seperti Itali dan Jerman," katanya kepada Astro AWANI.
Bagaimanapun menurutnya, masih terlalu awal untuk berkata ia adalah permulaan kepada Perang Dunia Ketiga.
Ini kerana beberapa buah negara Islam, yang masih menormalisasi hubungan dengan Israel dilihat bersekongkol antara satu sama lain menjatuhkan sebuh negara Islam yang lain.
“Hendak kata Peperangan Dunia Ketiga itu saya tidak berada di tempat untuk berkata demikian tetapi ia kan meningkatkan risiko itu.
“Kalau dilihat beberapa negara Asia Barat menormalisasi hubungan dengan Israel.
“Kalau kita lihat Jordan turut membantu mematahkan serangan peluru misil oleh Iran, maknanya ada juga negara Islam bersekongkol dengan Israel,” tambahnya lagi.
Sementara itu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhasrat untuk mengadakan mesyuarat pada Ahad.
Perkara itu disahkan seorang diplomat selepas Israel meminta UNSC mengutuk serangan Iran ke atas Israel dan menamakan Kor Pengawal Revolusi Iran sebagai organisasi pengganas.