Serangan dron Iran: Israel harus bersedia terima ancaman berpanjangan - Dr Noor Nirwandy
Faida Rahim
April 14, 2024 13:12 MYT
April 14, 2024 13:12 MYT
KUALA LUMPUR: Israel kini harus bersedia menerima ancaman berpanjangan daripada Iran susulan tindakan rejim melancarkan serangan udara ke atas bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria pada 1 April lalu.
Felo Operasi Psikologi UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin juga berpendapat serangan balas Israel dijangka akan berlaku namun jarak ribuan kilometer tidak memungkinkan serangan dilancarkan secara berterusan.
"Israel sudah tentu menyekat dan menindas penduduk Gaza serta merancang sesuatu terhadap Iran. Iran juga memberi gambaran bahawa sebarang bentuk tindakan yang dilakukan Israel, mereka juga harus bersedia menerima ancaman.
"Ini juga menunjukkan pertembungan kuasa diplomasi dron dua negara dan diplomasi yang menunjukkan sama ada kedua-dua negara boleh kekal bertoleransi atau kita menuju kepada satu konflik yang berpanjangan seperti mana berlaku di Ukraine dan Rusia dan kawasan Asia Barat yang belum selesai hingga sekarang," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Dalam pada itu, serangan Iran memberi tamparan besar kepada sistem keselamatan dunia apabila Iran menggunakan diplomasi dron untuk 'mengajar' Israel dengan melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu ke Israel semalam.
Beliau memberitahu serangan dilakukan berdasarkan Artikel 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan dengan tindakan mempertahankan diri yang sah.
"Serangan Iran di Israel memberi tamparan besar kepada sistem keselamatan dunia dalam satu konteks ini dan sudah tentu Iran cuba menggunakan diplomasi dron untuk mengajar Israel. Apakah sebenarnya erti Artikel 51 dan apakah yang perlu dilakukan sekiranya mereka diserang semula.
"Diplomasi dron ini sudah cukup simbolik kerana ia jelas menunjukkan kebangkitan sebuah bentuk serangan yang disasarkan kepada negara yang kuat seperti Israel serta memberi satu tekanan kepada Israel untuk terus berhati-hati dan sedia menerima akibat kesan daripada serangan Gaza," katanya lagi.