Serangan di Gaza: Anak muda Sungai Manik sahut Kempen Solidariti Palestin
Abd Razak Mohd Ali
Mei 14, 2021 05:24 MYT
Mei 14, 2021 05:24 MYT
TELUK INTAN: Terkesan dengan apa yang dialami penduduk Palestin yang diserang tentera Israel, kumpulan anak muda di Sungai Manik, dekat sini, meluahkan sokongan terhadap saudara mereka yang tertindas di Gaza.
Sebagai tanda solidariti, mereka membuat sendiri bendera Palestin dan menggantungnya bersama-sama dua bendera Malaysia di Simpang 3, Taman Manik, malam tadi.
Menurut jurucakap kumpulan itu, Faisal Jamidi, mereka memasang bendera itu atas rasa tanggungjawab sebagai Muslim untuk menegakkan Islam dan membantu sesama umat.
“Sejak saya tahu kejadian yang sudah berlaku, saya tidak dapat tidur malam memikirkan nasib Muslim di Palestin.
“Saya fikirkan apa yang saya dapat buat untuk bantu. Hendak turun sama berjuang sudah tentu tidak dapat. Jadi, disebabkan itu, tercetusnya idea ini untuk menunjukkan sokongan dan prihatin terhadap Palestin,” katanya kepada Astro AWANI.
Menurutnya, dia mengumpulkan anak muda di Sungai Manik untuk sama-sama menaikkan bendera itu.
Katanya, selepas solat Jumaat semalam, dalam masa singkat mereka berjaya menghasilkan satu bendera dan sedang berusaha untuk menghasilkan lebih banyak untuk diedarkan kepada sesiapa yang inginkannya.
“Tujuan saya membuat aktiviti ini kerana ingin mengajak sesama Muslimin untuk terus berdoa untuk Palestin.
“Walaupun jauh tetapi kita tetap boleh sama-sama berjuang dengan mereka yang berada di sana melalui mesej yang boleh disampaikan melalui platform media sosial,” ujarnya.
Mereka merancang untuk memasang bendera yang sama di beberapa tempat lagi di sekitar kawasan Sungai Manik.
Kementerian Kesihatan Gaza pada Jumaat memaklumkan, jumlah kematian kini meningkat kepada 119 orang termasuk 31 kanak-kanak dan 19 wanita, dengan 830 orang cedera.
#Taman Manik
#Sungai Manik
#tentera
#Israel
#Gaza
#Palestin
#serangan udara
#anak muda
#bendera
#solidariti
#Faisal Jamidi
#doa