Serangan bom: Dua rakyat Malaysia didakwa di Teluk Guantanamo
Astro Awani
Ogos 29, 2021 17:22 MYT
Ogos 29, 2021 17:22 MYT
KUALA LUMPUR: Dua rakyat Malaysia yang didakwa terlibat tragedi pengeboman di Indonesia 19 tahun lalu, akan didakwa di Mahkamah Tentera, Stesen Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo, Cuba esok.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Suruhanjaya Tentera AS.
Mohamad Nazir Lep, 45, dan Mohammed Farik Amin, 46, sebelum ini dijadualkan didakwa pada Februari lalu, tetapi ditunda akibat pandemik COVID-19.
Nazir dan Farik antara ahli Jemaah Islamiyah yang ditahan di kem berkenaan sejak tahun 2006 bersama dalang tragedi pengeboman itu, Encep Nurjaman dari Indonesia atau dikenali sebagai Hambali.
Dalam kejadian 12 Oktober 2002, 202 orang maut selepas sebuah kelab malam di Bali, Indonesia dibom anggota kumpulan terbabit
Manakala pada 5 Ogos 2003, Hotel JW Marriot, Jakarta pula disasarkan mengakibatkan 12 orang maut dan puluhan yang cedera.
Kedua-dua rakyat Malaysia itu dikatakan berperanan sebagai pembantu kepada Hambali dan pernah dilatih oleh Al-Qaeda.
Kedua mereka berdepan sembilan pertuduhan, manakala Hambali pula berdepan lapan pertuduhan.
Antaranya berkaitan peranan mereka dalam serangan tersebut, konspirasi, percubaan membunuh, pembunuhan, dengan sengaja menyebabkan kecederaan, terrorisme, dan menyerang orang awam.