Serangan berparang: Ketua samseng antara lapan ditahan, tiga masih diburu

Astro Awani
Ogos 26, 2023 13:37 MYT
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata mengesahkan salah seorang individu yang ditahan adalah ketua samseng di kawasan Samariang, Kuching dan Matang. - Astro AWANI
KUCHING: Lapan lelaki tempatan termasuk seorang ketua samseng berjaya ditangkap polis Padawan untuk siasatan kes pergaduhan bersenjatakan parang di Matang pada 21 Ogos lalu.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, tiga lagi individu yang turut terlibat sedang diburu.
“Setakat ini tangkapan ke atas saspek berjumlah lapan orang dan kesemuanya adalah lelaki tempatan berusia lingkungan 21 tahun sehingga 51 tahun.
“Tangkapan pertama ke atas suspek dilakukan memandangkan salah seorang individu adalah ketua samseng di kawasan Samariang, Kuching dan Matang,” katanya ketika ditemui pemberita di Program Kepolisan Komuniti PDRM di Dewan Masyarakat Kampung Semeba dekat sini pada Sabtu.
Tambahnya, semakan rekod ke atas semua tangkapan mendapati penglibatan utama adalah dalam kegiatan dadah.
Terdahulu semasa kejadian sekitar pukul 1 pagi, seorang lelaki parah selepas dibelasah beramai-ramai menggunakan senjata parang dan kayu hoki sehingga cedera di badan serta kaki.
Kesemua suspek kemudian melarikan diri sementara mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan. Difahamkan mangsa kini stabil dan di bawah pemantauan rapi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah menggunakan senjata, dan Seksyen 148 kerana melibatkan elemen rusuhan.
#serangan #parang #Sarawak #samseng
;