Serangan berbalas tembakan di Selatan Lubnan tidak jejaskan rakyat Malaysia - Wisma Putra

Firdaus Azil
Ogos 5, 2024 12:38 MYT
Susulan peningkatan ketegangan di antara rejim Zionis Israel dan Tentera Hezbollah yang berlaku di Lubnan, Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Isnin berkata ia sedang memantau rapat situasi tersebut. - Gambar fail/AP
PUTRAJAYA: Susulan peningkatan ketegangan di antara rejim Zionis Israel dan Tentera Hezbollah yang berlaku di Lubnan, Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Isnin berkata kementerian itu sedang memantau rapat situasi tersebut.
Wisma Putra berkata, insiden berbalas serangan yang sedang berlaku di Selatan Lubnan tidak melibatkan atau menjejaskan rakyat Malaysia yang berada di sana.
Bagaimanapun Wisma Putra memberi amaran bahawa situasi masih tidak terjangka, dan rakyat Malaysia harus mengambil langkah-langkah yang berjaga untuk mengelak sebarang kemudaratan.
“Kementerian juga sedang aktif berkomunikasi dengan Kedutaan Malaysia di Beirut, Kementerian Pertahanan Malaysia, dan juga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menilai status dan keselamatan pasukan Tentera Pengaman Malaysia (Malbatt) 850-11 yang ditempatkan di Tibnin dan Marakah, termasuk rakyat Malaysia lain di negara itu.
“Amat penting bagi rakyat Malaysia yang bukan sebahagian daripada Malbatt, tetapi memilih untuk tinggal di Lubnan, untuk sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan, dan mengikut segala arahan yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan,” jelas kenyataan itu.
Wisma Putra berkata, mana-mana rakyat Malaysia yang masih belum berbuat demikian, disarankan untuk melakukannya dengan segera bagi membolehkan mereka menerima kemaskini dan sokongan sekiranya memerlukan.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi pihak Kedutaan di Beirut di: -
Alamat: Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Lebanon
Telefon: +961 71 380 063 / +961 7677 2527
E-mail: mwbeirut@kln.gov.my
“Kementerian Luar Negeri akan terus memantau situasi secara rapat, dan menyediakan kemaskini yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia di Lubnan,” menurut kenyataan itu lagi.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan rejim Zionis telah melancarkan serangan peluru berpandu dan tembakan mesingan di beberapa kawasan di Al Mahmudiyah, dan Kafr Rumman, Selatan Lubnan.
Dalam kenyataan susulan, Tentera Hezbollah mendakwa ia telah berjaya memusnahkan peralatan perintipan Israel di Ramyah.
Ketegangan tersebut memuncak selepas Israel membunuh Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh beberapa hari lalu, dan sehingga kini 40,000 rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat telah terkorban akibat kekejaman rejim Zionis itu.
#rejim Zionis #Wisma Putra #rakyat Malaysia #lubnan