Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Tujuh individu akan direman esok

Bernama
Mei 17, 2024 12:28 MYT
Tujuh individu yang ditahan awal pagi tadi kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan di Balai Polis Ulu Tiram akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi mendapatkan perintah reman. - BERNAMA
JOHOR BAHRU: Tujuh individu yang ditahan awal pagi tadi kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan di Balai Polis Ulu Tiram akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok bagi mendapatkan perintah reman.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor CP M Kumar.
Tujuh individu terbabit termasuk lima anggota keluarga suspek, berumur antara 19 hingga 62 tahun, ditahan susulan serbuan yang dilakukan di kediaman keluarga suspek awal pagi tadi.
Dua lagi individu yang akan turut direman esok ialah dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes itu.
BACA: Dua anggota polis maut diserang lelaki bertopeng di Balai Polis Ulu Tiram
BACA: Suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram ahli JI, tujuh individu ditahan - KPN
Dalam kejadian 2.45 pagi, dua anggota polis iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said maut selepas diserang seorang lelaki yang bersenjatakan parang dan merampas dua senjata api daripada anggota polis.
Seorang lagi anggota keselamatan cedera akibat ditembak dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala lelaki yang merupakan suspek utama kes itu mati ditembak di lokasi kejadian.
-- BERNAMA
#serangan Balai Polis Ulu Tiram #tujuh individu #Ketua Polis Johor CP M Kumar #reman