Serangan balai polis Ulu Tiram: "Saya tak faham, saya tiada senjata" - Ahli keluarga suspek

Ernalisa Othman
Jun 19, 2024 06:19 MYT
Tertuduh, Radin Imran Radin Mohd Yasin ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru bagi menghadapi pertuduhan hari ini. - Foto Astro AWANI
JOHOR BAHRU: "Saya tidak faham, saya tidak ada senjata apa."

Ringkasan AI
  • Radin Imran Radin Mohd Yasin, 62, didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas empat pertuduhan berkaitan dengan penggalakan ideologi kumpulan pengganas Islamic State (IS) kepada keluarganya.
  • Katanya, dia dan keluarga telah mengasingkan diri sejak tahun 2014. Lima ahli keluarga lain juga didakwa atas pelbagai pertuduhan berkaitan IS.
  • Kes ini berhubung dengan serangan di Balai Polis Ulu Tiram yang mengakibatkan kematian dua konstabel dan mencederakan seorang koperal.

Itu antara kata-kata dilontarkan di perkarangan Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada pendakwaan lima ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram hari ini apabila tertuduh pertama Radin Imran Radin Mohd Yasin, 62, mendakwa tidak memahami pertuduhan yang dibacakan ke atasnya apabila dia didakwa menggalak dan menanam ideologi kumpulan pengganas Islamic State (IS).
Radin Imran didakwa atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dengan menggalakkan perbuatan pengganas berkaitan IS kepada semua ahli keluarga.
Tertuduh yang berambut putih paras bahu dan berkemeja hijau turut berulang kali bertanyakan soalan itu kepada hakim.
Radin dengan tegas ketika dikandang mahkamah menyatakan bahawa dia tidak memahami pertuduhan itu dan meminta jurubahasa mengulanginya semula.
Ketidakfahaman itu dakwanya disebabkan dia dan keluarga telah mula mengasingkan diri sejak tahun 2014.
[TERKINI] Lima ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram didakwa
Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim bagaimanapun dengan tenang memberitahu tertuduh prosiding terbabit hanya pertuduhan sahaja dan kes akan dibicarakan di mahkamah selepas ini.
Lelaki berkenaan bagaimanapun tetap dengan pendiriannya mahukan jurubahasa membacakan pertuduhan kedua berkaitan menyimpan senjata api.
Dalam masa sama jurubahasa turut membacakan pertuduhan ketiga dan keempat berhubung memberi sokongan dan memiliki buku berkaitan IS, kepada Radin Imran dan tertuduh kemudiannya mengangguk tanda memahami pertuduhan yang diulang.
Prosiding kemudiannya diteruskan dengan pertuduhan ke atas anak lelakinya iaitu Radin Romyullah Radin Imran, 34, dan Rosna Jantan, 59, dan Farhah Sobrina Radin Imran, 23.
Bagaimanapun pertuduhan terakhir tertumpu kepada anak bongsu Radin iaitu Mariah Radin Imran, 19, apabila dia seakan terketar-ketar ketika menjawab pengakuan mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan.
Radin Romyullah dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.
Tiga lagi tertuduh wanita didakwa atas pertuduhan dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat berkenaan kesalahan itu mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan.
Kesalahan didakwa dilakukan antara April 2017 dan 17 Mei 2024 mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi 17 Mei lalu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.
Sementara itu, Koperal Mohd Hasif Roslan cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
#serangan Balai Polis Ulu Tiram #ideologi kumpulan IS #Radin Imran Radin Mohd Yasin #anggota polis maut