Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Polis nafi rakyat Singapura ditahan
Sinar Harian
Mei 18, 2024 18:44 MYT
Mei 18, 2024 18:44 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan seorang warga Singapura antara tujuh ditahan berkaitan siasatan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Jumaat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tujuh individu yang ditahan reman tujuh hari sehingga 24 Mei merupakan warga tempatan.
“Semua ditahan adalah warga tempatan, tiada (warga Singapura) seperti dilaporkan,” katanya pada Sabtu.
Pada Sabtu, media tempatan melaporkan tujuh individu termasuk seorang warga Singapura ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit.
Mereka yang direman itu melibatkan lima ahli keluarga suspek termasuk bapanya selain dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT).
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Johor.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian pada jam 2.30 pagi Jumaat, dua anggota di Balai Polis Ulu Tiram, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut manakala seorang lagi anggota parah selepas ditetak dan tembak suspek.
Anggota polis yang cedera akibat ditembak itu kini dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Suspek bersenjata parang yang tinggal di Kampung Sungai Tiram berusia 21 tahun itu datang ke balai berkenaan dengan menaiki motosikal. - Sinar Harian