Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Penyerang tiada agenda besar, bertindak sendirian - Saifuddin

Firdaus Azil
Mei 18, 2024 09:30 MYT
Suspek utama yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, di sini, pada Jumaat, hingga menyebabkan kematian dua anggota polis didapati tidak mempunyai motif atau agenda yang lebih besar, kata Saifuddin.
JOHOR BAHRU: Suspek utama yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, di sini, pada Jumaat, hingga menyebabkan kematian dua anggota polis didapati tidak mempunyai motif atau agenda yang lebih besar, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, hasil dapatan itu diperoleh selepas pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai menemubual sejumlah 46 individu yang dipanggil bagi membantu siasatan, termasuk lima ahli keluarga penyerang yang kini berada dalam tahanan polis.
Menurut Saifuddin, setakat ini insiden itu tidak akan membawa kepada perkara lain dan polis memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam tetap menjadi keutamaan mereka.
“Penyerang ini bertindak bersendirian atau kita sebut sebagai lone wolf. Driven by motivation yang dia faham, sebab dia tak bercampur dengan orang.
“Kerana itu, kita boleh buat kesimpulan awal, daripada temu bual, kita establish tindakan itu berupa tindakan sendirian, terpisah daripada satu misi besar atau kumpulan terancang, itu tak ada.
“Motif awal, perpetrator ini satu individu yang menjadi ahli dalam satu keluarga, hakikatnya tak bercampur dengan masyarakat. Kerana itu, tindakan dia adalah tindakan bersendirian, yang kita akan cuba establish apa sumber yang mendorong dia untuk bertindak begitu,” kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor, di sini, hari ini.
Setakat ini Saifuddin berkata, penyerang itu disahkan sebagai seorang warganegara Malaysia, berusia lingkungan 20an, manakala ahli keluarganya kini disiasat di bawah Akta 302 Kanun Keseksaan.
Pada Jumaat, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan insiden bermula apabila dua individu yang merupakan penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT), telah hadir ke balai polis tersebut untuk membuat laporan berhubung kes pencabulan yang berlaku dua tahun lepas.
Ketika Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said maut selepas diserang seorang lelaki bertopeng dari arah belakang.
Kedua-dua anggota itu maut di tempat kejadian, sebelum seorang lagi anggota keselamatan, Korporal Mohd Hasif Roslan tiba, dan berbalas tembakan dengan penyerang tersebut.
Susulan kejadian itu, penyerang tersebut maut ditembak, manakala Mohd Hasif cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail di sini.
Razarudin dalam sidang media pada Jumaat memaklumkan suspek dipercayai anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI), berdasarkan penemuan barang bukti di rumahnya di Ulu Tiram.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pihak polis mempunyai pengalaman selama 217 tahun dan beliau menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan polis untuk mengurus insiden tersebut, serta terus membuat pemantauan terhadap sebarang kemungkinan kewujudan kumpulan pengganas.
“Saya mohon juga untuk masyarakat awam, hentikan spekulasi, beri ruang kepada polis untuk selesaikan siasatan dengan mengulangi jaminan ketenteraman awam, keselamatan awam keutamaan kami dan polis akan lakukan sedaya mungkin untuk urus dan selesaikan insiden ini, untuk pastikan bahawa, ketenteraman seluruhnya terjamin.
“Saya nak beri jaminan pasukan polis dengan pengalaman kita 217 tahun penubuhan, database kita itu memadai untuk kita uruskan insiden begini. Sebab itu kalau kita ada latar belakang (individu) yang dulu pernah terlibat dengan apa kegiatan, SOSMA dan dilepaskan, pendekatan polis adalah untuk terus engage mereka.
“Polis akan terus memastikan proses rehabilitasi mereka berjalan, dan mereka itu tidak menjadi ancaman kepada masyarakat,” katanya lagi.
#serangan Balai Polis Ulu Tiram #dua anggota polis maut #Jemaah Islamiyah #Saifuddin Nasution
;