Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Keadaan stabil, KPN lawat Mohd Hasif

Sinar Harian
Mei 17, 2024 16:40 MYT
Razarudin (dua dari kanan) meluangkan masa melawat dan berdoa untuk kesihatan Mohd Hasif yang kini mendapat rawatan di HSI pada Jumaat. -Foto PDRM
JOHOR BAHRU: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meluangkan masa melawat seorang anggota polis yang menjadi mangsa serangan di balai polis Ulu Tiram, dekat sini pada Jumaat.
Razarudin mengadakan lawatan kebajikan bagi melihat sendiri keadaan mangsa yang kini mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Dalam lawatan tersebut, Razarudin diiringi Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Afandi Senin; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Senior Asisten Komisioner Hoo Chuan Huat serta Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak.
Razarudin berkesempatan memberikan sokongan moral kepada Koperal Mohd Hasif Roslan yang bertugas di Unit Ronda Cegah Jenayah kerana mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
Mohd Hasif kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Anggota polis tersebut terselamat daripada menjadi mangsa serangan seorang individu bertopeng yang dipercayai anggota Jemaah Islamiah (JI).
Mangsa bagaimanapun mengalami kecederaan parah, manakala dua lagi rakan setugas maut diserang suspek yang bersenjatakan parang.
Dalam serangan jam 2.54 pagi itu, dua anggota polis dilaporkan terbunuh dan suspek ditembak mati di lokasi kejadian. -Sinar Harian
#Balai Polis Ulu Tiram #Ketua Polis Negara #Razarudin Husain #Mohd Hasif Roslan #Jemaah Islamiyah
;