Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Kawalan balai, kawasan profil tinggi dipertingkat - KPN
Bernama
Mei 17, 2024 15:55 MYT
Mei 17, 2024 15:55 MYT
JOHOR BAHRU: Kawalan keselamatan di balai polis dan kawasan yang melibatkan individu berprofil tinggi termasuk istana akan dipertingkatkan susulan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi tadi.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata langkah itu turut merangkumi keselamatan anggota polis dan individu berprofil tinggi termasuk menteri besar.
"Ini merupakan tindakan intervensi kita bagi menyekat apa-apa tindakan Jemaah Islamiyah, ia mustahak dan (menjadi) tanggungjawab kami terutama dalam tingkat kawalan anggota," katanya pada sidang media di Balai Polis Ulu Tiram di sini hari ini.
Beliau dalam masa sama meminta pegawai dan anggota yang bertugas di dalam atau luar lapangan untuk sentiasa bersiap siaga dan berhati-hati sepanjang masa.
Dalam kejadian 2.45 pagi tadi tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun dan suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.
Suspek lelaki yang ditembak mati itu dipercayai ahli Jemaah Islamiyah dan serbuan telah dilakukan ke atas rumah suspek di Ulu Tiram yang membawa kepada penahanan lima ahli keluarganya berusia 19 hingga 62 tahun.
-- BERNAMA
#serangan Balai Polis Ulu Tiram
#kawalan keselamatan
#Ketua Polis Negara
#KPN
#Razarudin Husain
#individu berprofil tinggi
#Istana