Serangan balai polis Ulu Tiram: JKM sedia beri kaunseling pada keluarga mangsa - Noraini

Abd Razak Mohd Ali
Mei 22, 2024 15:30 MYT
Noraini menyampaikan sumbangan Yayasan Kebajikan Negara kepada keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi di Bidor pada Rabu. - Foto Astro AWANI
BIDOR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedia memberi khidmat kaunseling kepada dua keluarga yang terlibat dalam serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lalu, mengikut keperluan mereka.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, kehilangan anak ketika bertugas mempertahankan diri dan balai polis itu sudah tentu memberi kesan emosi kepada keluarga.
“Mereka baru saja kehilangan, dan tadi maknya bercerita kadang-kadang dia duduk seorang diri, dia teringat arwah.
“Jadinya itu kami berasakan sesi kaunseling itu perlu, sehinggalah mereka dah cukup bersedia untuk tidak menerima kaunseling itu lagi.
“Maknanya kaunseling akan berjalan sampai dia sedia untuk untuk bersendiri,” katanya.
Beliau ditemui selepas mengunjungi keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar di Kampung Poh Tambahan, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed, Ahli Dewan Undangan Negeri Behrang, Salina Samsudin.
Noraini berkata, walaupun emosi keluarga itu nampak masih terkawal tetapi mereka sedih dan berasa kehilangan sehingga ingin tengok balik tempat kejadian.
Malah, katanya, keluarga Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said di Gambang juga ingin datang ke Bidor dan meminta menyampaikan salam.
Menurutnya, oleh kerana pihak sekolah tempat ibu mangsa bekerja juga menyediakan sesi kaunseling, pihak JKM akan menyusul kemudian untuk memberi kaunseling bagi membantu menenangkan keluarga berkenaan.
Pada kunjungan itu, Noraini menyampaikan bantuan wang tunai RM3,000 melalui Skim Pemberian Ihsan Yayasan Kebajikan Negara dan barangan keperluan kepada waris ketiga-tiga mangsa berkenaan.
#serangan Balai Polis Ulu Tiram #sesi kaunseling #anggota polis terkorban #noraini ahmad
;