Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Jenazah dua anggota dituntut keluarga

Siti Nur Aqilla Omar
Mei 18, 2024 09:45 MYT
Kedua-dua van jenazah yang membawa jasad dua anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram meninggalkan pekarangan Hospital Sultan Ismail pada pukul 9.15 pagi. - Gambar Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Jenazah dua anggota polis yang maut dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi semalam dibawa keluar meninggalkan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
Kedua-dua van jenazah yang membawa jasad anggota terbabit dilihat meninggalkan pekarangan jabatan berkenaan pada pukul 9.15 pagi.
Difahamkan proses bedah siasat kedua-dua anggota berkenaan selesai, semalam.
Jenazah Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, akan dibawa ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor untuk disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir.
Kedua-dua jenazah tersebut kemudian akan dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing iaitu di Bidor, Perak dan Kuantan, Pahang untuk disemadikan.
Terdahulu, pegawai dan anggota polis beserta kenderaan peronda dilihat mula memasuki dan berkumpul di kawasan berkenaan pada pukul 6.30 pagi.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, dua anggota polis maut akibat ditetak dan ditembak seorang suspek lelaki yang dipercayai merupakan ahli kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).
Kejadian yang berlaku pada pukul 2.30 pagi itu turut mencederakan seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan yang kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun itu turut maut selepas ditembak polis dalam serangan berkenaan.
Tujuh suspek termasuk ahli keluarga 15 hingga 62 tahun ditahan, dan pasangan lelaki dan wanita berusia 22 dan 21 tahun yang membuat laporan polis sebelum serangan berlaku.
#serangan Balai Polis Ulu Tiram #jenazah dua anggota #Balai Polis Ulu Tiram #Jemaah Islamiyah
;