Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Anggap polis 'musuh', 'layak dibunuh' dipercayai antara motif - Pakar
Hasimi Muhamad
Mei 17, 2024 19:41 MYT
Mei 17, 2024 19:41 MYT
KUALA LUMPUR: Modus operandi serangan ahli kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) di Balai Polis Ulu Tiram, Johor hari ini yang mengorbankan dua anggota polis berkemungkinan melibatkan dua motif.
Berdasarkan analisis awal, Pakar Pertahanan, Keselamatan dan Kajian Strategik UPNM, Prof Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berpandangan motif pertama adalah kumpulan pengganas terbabit menganggap polis sebagai 'musuh' dan 'layak dibunuh'.
"Pertama sekali adalah rasa benci kepada penguat kuasa terutama pemerintah atau pihak polis, dan juga pemimpin negara yang dilihat bagi pandangan kelompok-kelompok ini, mereka mengatakan bahawa semua ini adalah kafir ataupun halal untuk dibunuh.
"Maka, mereka tidak Islamik dan memahami apa yang mereka (pengganas) faham sebagai pengerakan salafi (pengikut gerakan Islam yang ekstrem).
"Jadi, itu mereka kategorikan sebagai takfiri atau orang kafir yang halal darahnya atau jihad al-qital untuk dibunuh," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Mengulas lanjut, motif kedua pula, Mohd Mizan berkata kumpulan terbabit menyasarkan balai polis kerana dipercayai bagi tujuan pemilikan senjata api.
"... kerana kita lihat balai polis sebagai institusi yang mempunyai senjata api dan memiliki senjata api dalam kegiatan bersifat ekstrem dan ganas adalah sangat penting dan perlu.
"Mereka melihat apabila memiliki senjata api, sebagai mana kita pernah digemparkan dengan rompakan senjata di kem tentera di Gerik (Perak) oleh Al-Ma'unah.
"Jadi kita lihat memiliki sejumlah besar senjata api akan membolehkan operasi yang lebih besar," tambahnya.
Mohd Mizan dalam pada itu tidak menolak kemungkinan perekrutan ahli kumpulan pengganas JI masih berlaku dalam kalangan ahli keluarga.
Ujar beliau, gerakan JI dalam anggota keluarga disifatkan masih efektif walaupun kumpulan terbabit tidak berinteraksi antara satu sama lain.
Mengambil contoh serangan di Balai Polis Ulu Tiram, beliau berkata tangkapan yang dibuat oleh pihak berkuasa melibatkan kelompok keluarga, yang kemungkinan berkembang dalam kalangan rakan-rakan.
"Jadi, sel keluarga itu adalah sangat sesuai dan baik bagi seseorang yang mempunyai idealogi radikal untuk mengembangkannya dalam kalangan ahli keluarga mereka.
"Mereka mungkin tidak melakukan latihan sebagaimana yang berlaku di Indonesia. Tetapi ia mempunyai kapasiti ke arah itu jika tidak dipantau atau diberikan perhatian khusus," katanya lagi.
Dalam kejadian pagi tadi, dua anggota polis terkorban manakala seorang lagi cedera parah dalam serangan membabitkan suspek lelaki yang menceroboh masuk ke dalam Balai Polis Ulu Tiram, di Johor Bahru.
Suspek kemudian berjaya ditembak mati.