Serangan Balai Polis Ulu Tiram: 7 individu termasuk warga Singapura direman 7 hari
Siti Nur Aqilla Omar
Mei 18, 2024 10:30 MYT
Mei 18, 2024 10:30 MYT
PASIR GUDANG: Tujuh individu termasuk seorang warga Singapura yang dipercayai terlibat dalam insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Jumaat depan (24 Mei).
Perintah reman sehingga Jumaat itu dikeluarkan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini, hari ini.
Permohonan reman dibuat bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, majistret tiba di perkarangan IPD Seri Alam pada pukul 9.30 pagi.
Kesemua suspek diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan termasuk peguam Bustaman Menon Abdul Hamid Menon, Sulaiman Zamani dan Muhammad Zahier Rosli kecuali seorang suspek yang merupakan warga Singapura.
Mereka yang direman melibatkan lima ahli keluarga suspek berumur 19 hingga 62 tahun dan dua orang penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) berumur 22 dan 21 tahun.
Semalam, dua anggota polis Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun maut akibat ditembak dan ditetak oleh seorang suspek yang merupakan ahli Jemaah Islamiah.
Mereka akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing di Bidor, Perak dan Gambang Pahang.
Manakala, seorang lagi anggota polis yang cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).