Serang polis dengan parang

Hakim Rahman
Ogos 31, 2017 12:20 MYT
Mangsa didatangi suspek yang menaiki motosikal dan terus menetak leher mangsa. - Sumber foto Polis DiRaja Malaysia/PDRM
Seorang lelaki yang menyerang anggota polis dengan parang ditahan di Jalan Othman, Petaling Jaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kejadian berlaku ketika anggotanya yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan terbabit pada 4.30 petang cuba menghampiri suspek yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
"Suspek berusia 21 tahun itu kemudiannya memecut motosikal bagi melarikan diri sebelum terbabas,
"Ketika anggota cuba menahannya, suspek mengambil parang dari motosikalnya dan melibas senjata terbabit ke arah anggota menyebabkan berlaku pergelutan," katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun anggota berkenaan berjaya menahan suspek tanpa sebarang kecederaan dan hasil pemeriksaan polis menemui gari di dalam beg silangnya.
Semakan turut mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes curi dan dadah.
Suspek kini direman empat hari sehingga Ahad bagi tindakan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
#jenayah #lelaki #maut #Mohd Zani Che Din #Petaling Jaya #suspek