Serang hospital, Israel adalah pengganas - Tun Mahathir

Sinar Harian
Oktober 20, 2023 20:01 MYT
Orang ramai berhimpun dan berarak berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat bagi menyatakan kemarahan terhadap pembunuhan yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin sempena Perhimpunan Hari Kemarahan Pembunuhan Kejam di Hospital Gaza. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Tindakan rejim Zionis Israel bertindak keterlaluan dengan menyerang hospital di Gaza disifatkan sebagai kezaliman luar biasa.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan tidak berperikemanusiaan Israel menyerang hospital itu jelas menunjukkan bangsa Zionis tersebut melakukan satu kezaliman luar biasa ke atas rakyat Palestin.
Tegas beliau, perbuatan rejim Zionis itu bertentangan dan melanggar undang-undang antarabangsa yang tidak membenarkan hospital atau pusat perubatan diserang semasa peperangan.
"Ini satu bentuk kezaliman luar biasa yang telah dilakukan oleh Zionis Isreal yang kejam.
"Tindakan menyerang hospital semasa perang adalah satu bentuk perbuatan pengganas dan melanggar undang-undang antarabangsa.
"Atas sebab itu, kita berhimpun pada hari ini untuk menunjukkan rasa benci dan bantahan kita ke atas rejim Israel," katanya ketika berucap sempena himpunan solidariti demi Gaza dan Palestin anjuran beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Jalan Tun Razak, dekat sini pada Jumaat.
Orang ramai berkumpul di pekarangan bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sebelum bergerak ke kedutaan Amerika Syarikat bagi menyatakan solidariti kepada Palestin pada Jumaat.
Hadir sama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas ahli politik terkemuka, Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua serta aktivis sosial, Hishamuddin Rais.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia harus menentang Amerika Syarikat (AS) dan Britain yang jelas memberi sokongan kepada rejim Zionis Isreal.
Beliau berkata, sokongan yang diberikan oleh dua negara tersebut ke atas Israel seharusnya dibantah oleh rakyat yang mencintai keamanan serta kedamaian.
Kata beliau, tindakan kedua negara itu yang menyokong serangan Israel ke atas hospital di Gaza adalah tergolong dalam golongan pengganas.
Jelas beliau, persahabatan yang ditunjukkan oleh kedua negara itu bersama rejim Zionis Isreal adalah bertentangan dengan semangat rakyat Malaysia yang mencintai keamanan dan menentang kezaliman.
"Oleh kerana persahabatan dengan Israel yang melakukan kezaliman ke atas rakyat Palestin, mereka juga telah melakukan jenayah besar dan bersekongkol dengan rejim zionis," ujarnya.
Oleh yang demikian, kata beliau, rakyat negara ini sama sekali tidak boleh menerima perkara tersebut yang jelas satu perbuatan zalim.
Malah katanya, perbuatan dua negara itu menyokong Israel jelas tidak menggambarkan mereka yang kononnya digelar sebagai pejuang kemanusiaan.
Sehubungan itu beliau berkata, rakyat Malaysia jangan sahaja menunjukkan perasaan tidak puas hati, sebaliknya berusaha memberi bantuan kepada Palestin.
Jelas beliau, sokongan terhadap rakyat Palestin boleh diterjemahkan dengan menghulurkan bantuan wang ringgit, ubat-ubatan dan makanan.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Mahathir Mohamad #perang Palestin Israel #Gaza #Israel #keganasan #Khairy Jamaluddin #Perhimpunan Hari Kemarahan Pembunuhan Kejam
;