Serang anjing jiran, jurukimpal dipenjara 12 bulan

Shuhada Abdul Kadir
November 10, 2020 13:33 MYT
Tertuduh S. Surais, 38, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Jasin kerana menyerang anjing jirannya ketika berada dibawah pengaruh alkohol. - Gambar Astro AWANI
JASIN: Tindakan kejam seorang lelaki yang menyerang anjing jirannya ketika berada dibawah pengaruh alkohol minggu lalu menyebabkan dia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Tertuduh S. Surais, 38, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa melakukan pencerobohan dengan memasuki rumah jirannya.
Bagi kesalahan itu, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau keduanya jika sabit kesalahan.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan khianat dengan membunuh anjing milik jirannya itu menggunakan senjata tajam.
Justeru dia didakwa mengikut Seksyen 428 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kesemua kesalahan itu dilakukan sekitar pukul 9.30 malam, 5 November lalu di Jalan Teratai 10, Taman Maju, Jasin.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai jurukimpal secara tiba-tiba menceroboh masuk ke dalam rumah jirannya dan menikam anjing peliharaan mangsa yang diikat di garaj rumah.
Anjing berkenaan ditikamnya beberapa kali sehingga terkeluar bahagian dalam perut dan berlaku pendarahan teruk.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos dalam hujahannya memohon hukuman berat dengan mengambil kira tindakan tertuduh adalah tidak berperikemanusiaan selain haiwan berkenaan terpaksa menanggung kesakitan lebih lima jam sebelum disahkan mati.
Suzana pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman penjara empat bulan bagi pertuduhan pertama dan 12 bulan penjara bagi pertuduhan kedua yang bermula dari tarikh ditangkap pada 6 November lalu.
Tertuduh tidak diwakili peguam.
#serang anjing jiran #jurukimpal dipenjara #12 bulan #Mahkamat Majistret Jasin #S Surais #Seksyen 448 Kanun Keseksaan
;