Serang anggota PGA: Reman empat suspek disambung

Adie Sufian Zulkefli
Disember 2, 2020 13:16 MYT
Empat suspek tersebut tiba di Kompleks Mahkamah Kangar pada jam 9 pagi. - Foto Astro AWANI
KANGAR: Reman ke atas empat suspek, termasuk seorang dipercayai ketua sindiket penyeludupan yang terbabit dalam serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Padang Besar pada 24 November lalu, disambung antara enam dan tujuh hari lagi.
Perintah reman dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar Siti Nor Hasliza Md Ali, selepas mendapat permohonan polis bagi meneruskan siasatan kes terbabit.
Terdahulu, empat suspek, termasuk seorang lelaki warga Thailand berusia 27 tahun, tiba di Kompleks Mahkamah di sini pada jam 9 pagi, dengan menaiki van polis, sebelum terus dibawa ke bilik reman.
Reman ke atas warga Thailand dan lelaki dipercayai ketua sindiket berusia 45 tahun disambung tujuh hari, manakala bagi dua lagi suspek warga tempatan berusia 22 tahun dan 26 tahun disambung enam hari.
Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta cubaan membunuh.
Berikutan itu, semua suspek dibawa kembali ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar bagi meneruskan proses siasatan.
Dalam kejadian serangan pada jam 3.10 pagi Selasa minggu lalu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54 tahun, meninggal dunia di lokasi selepas terkena tembakan, manakala rakannya, Sarjan Norihan Tari, 39 tahun, parah dan masih dirawat ketika ini.
#serangan #PGA #Dadah #penyeludup #suspek #reman #padang besar
;