Serampang dua mata SASET dalam pulihara alam sekitar
Astro Awani
Februari 18, 2020 13:07 MYT
Februari 18, 2020 13:07 MYT
Sultan Ahmad Shah Environmental Trust (SASET) mengorak selangkah dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharan alam sekitar.
Kali ini, seramai 31 mahasiswa dan kakitangan Universiti Limkokwing menanam 1,500 pokok hutan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Ichat, Cameron Highlands.
Jelas SASET dalam satu kenyataan berkata, usaha ini merupakan serampang dua mata iaitu; memulihara alam sekitar sambil berinteraksi dengan masyarakat.
Katanya, para sukarelawan menanam 1,500 pokok yang terdiri daripada empat spesis pokok hutan iaitu Merawan Siput Jantan, Menglembu, Merbau dan Damar Minyak.
"Kawasan Cameron Highlands penting untuk sektor pelancongan dan hidupan liar yang tinggal di kawasan tersebut. HSK Sungai Ichat seluas 121 hektar (300 ekar) sebelum ini diteroka secara haram dan dijadikan kebun sayur dan bunga hingga menyebabkan pencemaran pada kawasan tadahan air penduduk setempat.
"Ini merupakan kali pertama SASET mengadakan program seperti ini di Cameron Highlands yang diilhamkan oleh Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Mua'adzam Shah dan mendapat sokongan penuh dari masyarakat setempat untuk menyelamatkan kawasan terbabit dari petani haram," kata kenyataan itu.
Sementara itu, Fathmath Sadha Mohamed dari Maldives berkata, program 'Go Green With SASET' memberi pendedahan mengenai cara menanam pokok dan berinteraksi dengan masyarakat setempat.
"Saya lihat semua pelajar sangat teruja dan terima kasih kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang menyediakan lubang penanaman dalam jarak tertentu dan menjadikan penanaman lebih mudah.
"Saya berharap lebih banyak program yang melibatkan pelajar Universiti Limkokwing akan diadakan pada masa akan datang," katanya.
Bagi Latifa Ashraf Hassan Mohamed Abdulhamid Nafie dari Mesir berkata, terdapat banyak cara untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik seperti aktiviti di luar kelas.
"Bagi saya, aktiviti seperti ini sangat menyeronokkan. Selain berpeluang untuk melawat kawasan ini, saya juga berpeluang mempelajari tentang spesies pokok dan alam sekitar," katanya.
Program pemuliharaan kawasan terosot dan alam sekitar itu telah dianjurkan oleh SASET dengan kerjasama JPNP dan Majlis Belia Malaysia-Pahang.
SASET turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Majlis Belia Negeri Pahang bagi menjalinkan persefahaman mengenai pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar.
#Cameron Highlands
#Go Green
#JPNP
#operasi
#Pahang
#pelajar
#pelancongan
#SASET
#Tengku Fahd
#Universiti Limkokwing