Seramai 70 prospek dibebaskan secara berlesen di tiga negeri hari ini

Bernama
Ogos 29, 2024 22:09 MYT
C. Charin Promwichit (dua, kanan) menyantuni sebahagian prospek yang dibebaskan melalui PBSL di Penjara Tapah hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Seramai 70 banduan dari tiga negeri dibebaskan secara berlesen hari ini di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67.
Antara negeri terlibat ialah Perak, Perlis dan Kelantan.
Di Perak, seramai 34 prospek yang menghuni penjara di seluruh negeri merasai pengalaman sambutan 'kemerdekaan' yang lebih bermakna apabila mereka dibebaskan menerusi PBSL itu.
Pengarah Penjara Negeri Perak Timbalan Komisioner Penjara C. Charin Promwichit berkata daripada jumlah berkenaan seramai 14 dari Penjara Tapah manakala 13 lagi dari Penjara Taiping dan tujuh di Pusat Koreksional Kamunting.
"PBSL ini ada syaratnya (pembebasan) untuk kategori pertama mestilah mereka (prospek) yang dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun. Kategori kedua, mereka yang menjalani hukuman penjara satu hingga tiga tahun dan ketiga untuk golongan rentan.
"Selain itu, PBSL turut mengambil kira prospek daripada golongan warga emas yang tidak dapat menguruskan diri serta wanita mengandung," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pelepasan Ihsan Madani sempena Hari Kebangsaan di Penjara Tapah di sini hari ini.
Beliau berharap semua prospek yang dibebaskan di bawah PBSL dapat berubah dan menjadi insan berguna kepada masyarakat serta negara.
Di Perlis, Pengarah Penjara Perlis Raja Nazril Azman Raja Azam Iskandar berkata seramai 22 penghuni Pusat Koreksional Perlis (Jabatan Penjara Malaysia) di Arau dibebaskan lebih awal hari ini.
"Kesemua penghuni yang dibebaskan berlesen ini akan dipantau parol daerah masing-masing, mereka tidak perlu ke parol tetapi pihak parol itu sendiri akan datang ke rumah serta mereka hanya dibenarkan keluar dari rumah masing-masing dalam tempoh masa 8 pagi hingga 5 petang," katanya.
Seorang daripada penghuni itu yang hanya ingin dikenali sebagai Ad berumur 20-an berkata dia sepatutnya keluar penjara dua bulan lagi namun tidak menyangka dibebaskan awal sempena Hari Kebangsaan.
"Saya dimasukkan atas kesalahan dadah pada 29 Jan lepas dan sekarang saya sangat gembira dibenarkan pulang awal, hari ini saya dapat jumpa mak. Azam saya untuk tidak mengulangi kesalahan sama dan menjaga mak," katanya.
Di Kelantan, seramai 14 prospek dari Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang dibebaskan secara berlesen di bawah program sama.
Pengarah PPA Machang Mohd Nasir Yusof berkata hingga Ogos tahun ini seramai 1,035 banduan telah dilepaskan sebagai Orang Bebas Berlesen (OBB)
"Seramai 262 prospek PBSL kini menjalani parol di beberapa daerah seperti Kota Bharu (38), Tanah Merah (70), Bachok (57), Kuala Krai (63), Besut (28) dan masing-masing tiga di Kuantan (Pahang) dan Seberang Perai (Pulau Pinang).
"Jumlah selebihnya telah selesai menjalani proses berkenaan (parol) dan kembali ke pangkuan masyarakat," katanya sambil menambah kesemua yang menjalani PBSL ditempatkan di sektor pekerjaan perladangan, pembuatan, pembinaan dan pertanian.
-- BERNAMA
#Hari Kebangsaan #warga emas #PBSL Ihsan Madani #kesalahan dadah
;