Seramai 38,880 pati diusir sejak Januari - KP Imigresen
Bernama
September 19, 2017 07:17 MYT
September 19, 2017 07:17 MYT
Seramai 38,880 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melakukan pelbagai kesalahan, diusir ke negara asal sejak awal Januari sehingga Ahad lepas, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.
Beliau berkata daripada jumlah itu, warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh mencatatkan jumlah tertinggi yang diusir membabitkan pelbagai kesalahan antaranya melanggar syarat pas lawatan serta tinggal melebihi tempoh diberikan.
"Masih ada PATI yang ditempatkan di depoh tahanan dan kami sedang selesaikan siasatan sebelum membuat tindakan lanjut terhadap mereka.
"Imigresen juga mendapat kerjasama yang baik daripada pihak kedutaan untuk menjalankan proses pengusiran," katanya dalam sidang media selepas Dialog dan Seminar Isu-Isu Semasa Imigresen serta Penggajian Pekerja Asing di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya dekat sini, pada Selasa.
Mengenai Ops Mega E-Kad, beliau berkata seramai 13,000 PATI dan 312 majikan telah ditahan sejak 1 Julai lalu.
Menurut Mustafar, kebanyakan PATI yang ditahan adalah dari sekitar Lembah Klang, membabitkan mereka daripada sektor pembinaan dan perkhidmatan.
"Imigresen tidak akan berkompromi dengan majikan yang degil dan menggaji PATI yang masuk secara tidak sah," katanya.
Beliau berkata lambakan PATI yang tidak sah menjadi penyumbang kepada kegiatan tidak bermoral serta petempatan haram.
"Oleh itu, perkara ini perlu dikawal dan operasi akan sentiasa dijalankan oleh Jabatan Imigresen," katanya.
-- BERNAMA