Seramai 204 pelajar baharu Politeknik Jeli lapor diri walaupun banjir
Bernama
Februari 27, 2022 06:40 MYT
Februari 27, 2022 06:40 MYT
JELI: Seramai 204 pelajar baharu Politeknik Jeli bagi sesi 2021/2022 tetap melaporkan diri di kampus institusi itu pada Ahad walaupun banjir melanda negeri ini, sejak Khamis lepas.
Pengarahnya, Ulaimi Yahya berkata pendaftaran dilakukan secara pandu lalu dan selepas mendaftar pelajar terus bergerak ke bilik ditetapkan sementara ibu bapa pula hanya dibenarkan untuk menurunkan barangan kelengkapan dan keperluan pelajar sahaja.
"Pergerakan ini perlu dipatuhi untuk mengekang penularan wabak COVID-19 terutamanya ketika musim banjir ini," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Mengulas lanjut, Ulaimi berkata proses pendaftaran berjalan dengan lancar walaupun terdapat kekurangan kakitangan kerana beberapa laluan di kawasan mereka tinggal tidak dapat dilalui akibat banjir.
"Selain itu, terdapat juga beberapa pelajar baharu yang tidak dapat mendaftarkan diri hari ini kerana faktor banjir dan masalah kesihatan seperti positif COVID-19 dan mempunyai gejala," katanya yang menambah syarat utama untuk melapor diri perlu menjalani ujian kendiri dan membawa keputusan sebagai bukti semasa mendaftar.
-- BERNAMA