Seramai 2,207 rakyat Malaysia ditahan di lebih 50 negara atas pelbagai kesalahan

Bernama
Disember 19, 2024 20:36 MYT
Kementerian Luar Negeri akan membantu memastikan hak dan kebajikan tahanan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa terjaga. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini diberitahu bahawa 2,207 orang rakyat Malaysia ditahan di lebih 50 negara atas pelbagai kesalahan sejak Januari hingga Nov tahun ini.
Kementerian Luar Negeri menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan bagi kes-kes sedemikian, kementerian itu melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara akan membantu memastikan hak dan kebajikan tahanan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa terjaga.
"Langkah-langkah yang boleh diambil oleh Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara termasuk memaklumkan berita penahanan kepada waris terdekat di Malaysia, berkongsikan senarai firma guaman kepada subjek dan waris sebagai rujukan serta bantuan bagi mendapatkan khidmat guaman.
"Selain itu mereka juga menghadiri sesi perbicaraan, menyalurkan wang daripada waris kepada tahanan dan mengadakan lawatan konsular ke pusat-pusat tahanan secara berkala," katanya bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Senator Datuk C Sivaraj berhubung statistik terkini rakyat Malaysia ditahan di luar negara serta langkah diambil kerajaan untuk percepat proses bawa pulang mereka.
Kementerian itu berkata selain itu sepanjang tahun ini sahaja 255 lawatan konsular secara berkala dan tidak berkala telah diadakan.
Bantuan yang diberikan oleh Pejabat Perwakilan Malaysia pula haruslah selaras dengan Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsular 1963 dan berpandukan Dasar Luar Malaysia, yang mana campur tangan dalam urusan perundangan sesebuah negara asing tidak boleh dilakukan dan undang-undang yang diguna pakai oleh negara tuan rumah perlu dihormati.
"Ia sebagaimana kita mahu negara-negara lain menghormati sistem perundangan negara kita. Dalam hal ini, tahanan rakyat Malaysia di luar negara yang telah melalui proses perbicaraan, disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman perlu melengkapkan hukuman mereka sebelum dapat dihantar pulang," katanya.
Sementara itu berkenaan perjanjian dua hala antara Malaysia dan negara asing bagi tujuan membawa pulang tahanan rakyat Malaysia di luar negara, kementerian itu memaklumkan, setakat ini Malaysia telah memeterai Perjanjian Pemindahan Antarabangsa Banduan (ITOP) dengan negara Brunei, Iran, dan Ukraine.
Kementeria Luar berkata program ITOP itu membolehkan banduan warganegara yang dipenjarakan di Malaysia dihantar ke negara asal untuk menjalani baki hukuman, sementara rakyat Malaysia yang dipenjara di luar negara turut diberi peluang kembali ke Malaysia untuk meneruskan baki hukuman itu di Malaysia
"Bagaimanapun, ia masih tertakluk kepada syarat-syarat lain yang telah ditetapkan. Sebarang perbincangan untuk mewujudkan Perjanjian ITOP dengan negara asing akan dipertimbangkan dan diperhalusi daripada pelbagai aspek.
"Ia termasuk kepentingan hubungan dua hala, keperluan serta ketersediaan fasiliti fizikal untuk menampung banduan yang dipindahkan di kedua-dua pihak," katanya.
Bagaimanapun tanpa perjanjian dua hala itu, kementerian memaklumkan bantuan konsular masih boleh disalurkan dengan segera bagi memastikan hak dan kebajikan tahanan rakyat Malaysia terjaga melalui hubungan diplomatik erat sedia ada di antara Malaysia dan negara-negara asing.
Kementerian itu turut menasihatkan warganegara Malaysia yang berada atau akan melakukan perjalanan ke luar negara, supaya sentiasa berwaspada serta memahami peraturan dan undang-undang negara berkenaan bagi mengelakkan daripada terjebak dalam perkara yang tidak diingini.
-- BERNAMA
#Kementerian Luar Negeri #rakyat Malaysia #ditahan di luar negeri #perwakilan diplomatik
;