Serah portfolio urusan padi, beras kepada NACCOL - MP Bukit Gantang

Astro Awani
Januari 21, 2025 12:40 MYT
Syed Abu Hussin (foto) menggesa Kerajaan untuk meletakkan portfolio urusan padi dan beras di bawah NACCOL. -Astro AWANI
PUCHONG: Ketua Task Force Pemantauan Kluster Makanan (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menggesa Kerajaan meletakkan portfolio padi dan beras di bawah badan itu.

Ringkasan AI
  • Syed Abu Hussin menggesa Kerajaan untuk meletakkan portfolio urusan padi dan beras di bawah NACCOL. Beliau yakin dapat menyelesaikan isu ini dalam masa tiga bulan tanpa gangguan dari kementerian dan agensi lain.
  • Syed Abu Hussin mengkritik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, kerana gagal menguruskan isu beras padi dengan baik, yang telah berlarutan lebih dua tahun.
  • Mohamad Sabu mengumumkan kajian penjualan beras campuran untuk membantu pengilang Bumiputera yang menghadapi kesukaran menjual beras tempatan pada harga yang ditetapkan. Keputusan ini bertujuan untuk meringankan beban masyarakat dengan harga beras yang tinggi.

Dalam satu sidang media, beliau menyatakan hasrat untuk mengambil tanggungjawab menyelesaikan isu padi dan beras yang sudah berlarutan lebih dua tahun.
"Saya nak minta Perdana Menteri meletakkan portfolio urusan padi, penambahan hasil padi, dan urusan beras di bawah NACCOL. Saya mengambil tanggungjawab untuk selesaikan isu ini.
"Bagi saya masa tiga bulan sahaja, Insya-Allah saya boleh selesaikan. Saya akan buat cadangan tanpa ada gangguan. Kementerian dan kawal selia padi tidak boleh buat gangguan, tak boleh.
"Sementara sahaja, bukan saya minta lama-lama. Tiga bulan sahaja, selepas itu saya serah balik," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media mengenai isu beras negara, di sini, pada Selasa.
Syed Abu Hussin, dalam pada itu, turut menempelak Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu kerana dilihat gagal menguruskan isu beras padi di negara ini dengan baik.
Tambah beliau, Mohamad disifatkan gagal menjalankan tugas dalam menyelesaikan isu beras putih tempatan yang berlarutan lebih dua tahun di negara ini.
"Tak payah tahun ini, nak kajian, berapa lama nak kaji. Come on lah. What's going on? Come on lah Menteri Pertanian, rakyat menilai sebenarnya. Isu beras pun tak boleh selesai.
"Macam mana komoditi yang lain? Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari-hari bercakap mengenai kos sara hidup, tapi menteri buat tidak peduli sahaja. No response," katanya.
Minggu lalu, Mohamad Sabu mengumumkan penjualan beras campuran sedang dikaji bagi mendepani kekangan pengilang khususnya Bumiputera yang tidak dapat menjual beras tempatan pada kadar RM26 bagi kampit 10kg.
Mohamad berkata, setiap keputusan yang dibuat akan meletakkan pesawah sebagai keutamaan dan pada masa sama turut memikirkan alternatif kepada masyarakat agar tidak terbeban dengan harga beras yang terlalu tinggi.
Sementara itu, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) memberitahu komuniti pesawah dibebani dengan kos operasi yang mendadak sejak penghapusan subsidi pukal untuk diesel pada Jun tahun lalu, dan ini ditambah dengan isu agihan "fleet card" yang masih belum selesai.
#Pemantauan Kluster Makanan #NACCOL #Syed Abu Hussin Hafiz #Mohamad Sabu
;