Serah pada polis siasat kes kibar bendera negara asing - TPM Zahid

Mohd Zalani Md Atan
Oktober 27, 2024 14:18 MYT
Ahmad Zahid berkata beliau menyerahkan kepada pihak PDRM sepenuhnya untuk melakukan siasatan. - Gambar fail/Bernama
TEMERLOH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat insiden perarakan mengibarkan bendera negara China di Teluk Intan yang tular di media sosial.
Kes itu sebelum ini telah menarik perhatian ramai kerana ia dikata melibatkan isu sensitif dan dilihat sebagai membabitkan kedaulatan negara ini.
"Serahkan kepada pihak PDRM untuk melakukan siasatan dan kita memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada hasil siasatan berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Konvensyen Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang 2024 sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas 50 Tahun BN di Temerloh, pada Ahad.
Baru-baru ini, seramai 17 warga China telah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes perarakan Sambutan Guan Gong Sedunia di Dataran Menara Condong, Teluk Intan.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, penganjur melanggar syarat permit kerana mengganggu ketenteraman awam, mengibarkan bendera negara lain dan membenarkan warga asing turut serta dalam perarakan berkenaan.
Polis akan merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Pendakwa Raya Isnin ini untuk tindakan lanjut.
#kibar bendera asing #Zahid Hamidi #Teluk Intan #PDRM
;