Serah kuasa PM: Otai Reformis tolong duduk diam-diam - Khairuddin
Astro Awani
Jun 15, 2019 12:00 MYT
Jun 15, 2019 12:00 MYT
Kumpulan Otai Reformis dinasihat agar 'duduk diam-diam' dan tidak kalut dalam isu penyerahan kuasa Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, kumpulan itu kini seharusnya berganding bahu dalam memulihkan semula kerosakan negara oleh kerajaan terdahulu.
“Seharusnya Pengerusi Otai Reformis, Dr Idris Ahmad sedar sekarang bukan masa untuk kita bercakap mengenai perebutan kuasa.
“Hakikatnya, inilah permasalahan di kalangan Pakatan Harapan (PH) yang tidak habis-habis hanya bercakap mengenai perebutan jawatan.
“Sikap negatif Otai Reformis ini mesti dihindarkan sesama kita. Bercakaplah mengenai sumbangan kita secara kolektif untuk membangunkan semula Malaysia; bukan hanya selalu bercakap mengenai perebutan jawatan perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Pada Jumaat, Otai Reformasi menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan garis masa penyerahan jawatan perdana menteri kepada Anwar seperti yang dipersetujui pemimpin PH sebelum ini.
Gesaan Dr Idris itu dibuat kerana pihaknya melihat prestasi Putrajaya yang merudum.
Tegas Khairuddin, kenyataan itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Puak Otai Reformis ini tidak faham dengan kenyataan Dr Mahathir dan Anwar selama ini. Kalangan ini juga seolah-olah tidak faham Bahasa Melayu.
“Mereka ini faham atau tidak dengan permasalahan negara kini yang telah dirosakkan begitu teruk oleh pemimpin-pemimpin kerajaan terdahulu?
“Apa mereka ingat segala kerosakan besar negara boleh dibaiki secara sekelip mata? Adakah dari pandangan mereka tiada langsung perkembangan positif negara selama ini?” soalnya.
Jelasnya, kumpulan ini hanya mempunyai agenda peribadi berbanding meletakkan kepentingan negara di atas segalanya.
“Adakah mereka tidak dapat lihat pada dasarnya rancangan baik pulih negara di bawah kepimpinan Dr Mahathir dan rakan-rakan lain berada di landasan yang terbaik kini?
“Janganlah terlalu emosional tetapi tolong bersikap rasional sedikit. Semailah sikap sabar sikit di dalam sanubari mereka.
“Jangan terlalu hendak ikut hati. Sudah berbuih mulut Dr Mahathir menyatakan Anwar bakal menjadi penggantinya,” tegasnya.
Malahan tambah Khairuddin, Anwar sendiri sudah menyatakan tidak mahu mendesak dan meletakkan tempoh masa kepada Dr Mahathir bagi menyerahkan jawatan itu sehingga keadaan ekonomi negara distabilkan terlebih dahulu.
“Tokoh pemimpin sesama tokoh pemimpin saling mengerti tetapi orang luar pula yang terlalu kalut.
"Sesungguhnya saya secara jujur ingin sarankan kepada dr idris ahmad dan otai reformis agar duduk diam-diam dan jangan terlalu kalut," tegasnya.
Tambah Khairuddin, dalam usaha hendak menstabilkan semula keadaan ekonomi dan sosio politik negara, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah kerja.
"Berhentilah bercakap mengenai penyerahan jawatan perdana menteri secara kadar segera. Jangan jadi ‘sudu lebih dari kuah’,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairuddin menjelaskan, langkah turun ke jalan raya oleh Otai Reformis jika Dr Mahathir gagal mengotakan janjinya sudah dianggap lapuk kini.
“Rakyat sudah jelek dengan kerja-kerja tidak berfaedah ini. Keseluruhan rakyat hendak lihat kita bersatu padu untuk membangunkan semula negara.
“Atas dasar inilah rakyat memangkah PH pada PRU14 lepas. Bukan mereka pangkah dan sokong kita untuk berebut jawatan perdana menteri.
“Ini yang Dr Idris dan Otai Reformasi kena faham betul-betul,” katanya.
#agenda
#Anwar Ibrahim
#ekonomi
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#menteri
#Pakatan Harapan
#PM
#PRU14
#Putrajaya
#rakyat