Serah kuasa PM: Otai Reformis jangan ugut Dr Mahathir - Khairuddin

Astro Awani
Jun 16, 2019 10:35 MYT
KHAIRUDDIN: Otai Reformis dinasihat jangan menjadikan insiden perpecahan 1998 daripada berulang kembali. - Gambar Astro AWANI
Kumpulan Otai Reformis diingatkan tidak mengugut Tun Dr Mahathir Mohamad dalam dalam isu penyerahan kuasa Perdana Menteri.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, mereka juga diminta tidak berlagak samseng berpanjangan dengan desakan mahu membantah dengan cara turun ke jalanan.
"Apa ingat orang lain pun tidak tahu serta tidak boleh turun ke jalan raya? Kadangkala kita ingat terlalu kuat tetapi tidak tahu orang lain pun kemungkinannya lebih kuat.
"Tolong faham pada hukum qada dan qadar sama. Kalau Allah SWT berkata sesuatu itu adalah milik kita maka hak itu tetap kita yang punya tetapi sekiranya tidak diizinkanNya maka itu bukan rezeki kita.
"Sekali lagi saya ingin beri amaran kepada kumpulan ini, jangan jadikan insiden perpecahan 1998 daripada berulang kembali," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
BACA: Serah kuasa PM: Otai Reformis tolong duduk diam-diam - Khairuddin
BACA: Isu peralihan kuasa Perdana Menteri sudah selesai - Anwar
Pada Sabtu, Setiausaha Otai Reformis Abdul Razak Ismail menegaskan mereka kekal dengan pendirian menggesa Tun Mahathir menetapkan dengan segera garis masa dan tarikh untuk menyerahkan jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata Abdul Razak, pihaknya kekal dengan kenyataan yang telah dibuat dalam satu sidang akhbar pada Jumaat walaupun beberapa kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah membuat kenyataan balas mempertikaikan gesaan dan desakan tersebut.
Dalam pada itu Khairuddin mempertikaikan sumbangan kumpulan itu kepada proses untuk membangunkan semula Malaysia.
"Kenapa kumpulan Otai Reformis ini kalut sangat? Orang sedang bercakap tentang sumbangan semua pihak untuk membangunkan semula negara tetapi kalangan ini kalut dengan agenda hendak berebut jawatan.
"Sesungguhnya saya amat kecewa dengan kalangan yang meletakkan agenda kepentingan peribadi di atas segala-galanya," jelasnya.
Tegasnya lagi, kumpulan itu diminta tidak melupakan kekuatan serta kemampuan Deklarasi Rakyat.
"Dalam masa Otai Reformis terlalu kagum dengan pergerakan mereka, mereka jangan cepat lupa sejarah. Kalau kita kata boleh buat; orang lain kemungkinannya boleh buat berpuluh kali ganda dari kekuatan kita.
"Sentiasalah bermuhasabah diri dan kalau Anwar sendiri boleh sabar tunggu gilirannya hendak jadi perdana menteri, maka orang lain janganlah jadi macam lebih sudu dari kuah.
"Paling penting buat masa ini, marilah kita wujudkan perpaduan jitu ke arah membantu kerajaan Pakatan Harapan (PH) membangunkan semula tanah air tercinta ini demi kesejahteraan keseluruhan rakyat," katanya.
#agenda #Anwar Ibrahim #Deklarasi Rakyat #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #Parlimen #Perdana Menteri #perpaduan #PM #PPBM
;