Serah kuasa: Bantu mempercepat pembangunan Sabah dan Sarawak - Mohamad Alamin

Mirlen Axtius
Januari 4, 2023 19:57 MYT
Selain itu, Mohamad turut mengalu-alukan usaha kerajaan untuk meningkatkan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak pada kadar yang munasabah.
KOTA KINABALU: Penyerahan kuasa kepada Sabah dan Sarawak bagi projek pembangunan bernilai RM50 juta ke bawah mampu mempercepatkan usaha membangunkan kedua-dua negeri tersebut.
Sambil mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan dan Perdana Menteri, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, langkah itu akan memastikan kemajuan dan pembangunan akan terus dibawa kedua-dua negeri tersebut.
Menurut Ahli Parlimen Kimanis itu lagi, kesungguhan Kerajaan Perpaduan membawa perubahan kepada Sabah dan Sarawak supaya seiring dengan pembangunan di Semenanjung juga bukti rakyat di dua negeri ini tidak dipinggirkan.
"Sebaliknya, kerajaan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim ambil berat terhadap Sabah dan Sarawak. Bukan hanya dari segi pembangunan dan kestabilan ekonominya tetapi juga kebajikan rakyat di dua-dua negeri ini.
"Saya mengalu-alukan keputusan Jemaah Menteri yang diumumkan Perdana Menteri hari ini. Semoga keputusan ini bukan hanya membuktikan Sabah dan Sarawak ada kuasa diperturunkan tetapi juga ia mempercepatkan proses pembangunan di dua negeri itu," katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Jemaah Menteri menyerahkan kuasa meluluskan projek-projek bernilai bawah RM50 juta kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak.
Mengambil contoh projek pembangunan melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perdana Menteri menegaskan, ia tidak perlu menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan.
Selain itu, Mohamad turut mengalu-alukan usaha kerajaan untuk meningkatkan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak pada kadar yang munasabah.
Hal ini katanya penting memandangkan pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh pemimpin dahulu bersetuju dengan pemberian khas tersebut.
"Selain itu, usaha menyegerakan projek Lebuh Raya Pan Borneo juga satu perkara penting. Ia memberi peluang pekerjaan kepada anak dan kontraktor tempatan," katanya.
#penyerahan kuasa #Sabah dan Sarawak #pembangunan #Pembangunan Luar Bandar
;