'Serah kepada menteri terlibat' - Muhyiddin enggan ulas pembatalan ECRL

Irwan Muhammad Zain
Januari 26, 2019 18:00 MYT
Muhyiddin berkata lebih baik beliau tidak mengulas mengenai projek ECRL kerana portfolio yang disandangnya tidak ada kaitan dengan projek tersebut. -Gambar fail
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan mengulas mengenai pembatalan kontrak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan menyerahkan kepada menteri yang bertanggungjawab untuk membuat kenyataan.
Namun Muhyiddin menasihatkan agar tidak ada kenyataan bercanggah antara menteri yang terlibat dan bertanggungjawab dalam projek tersebut.
"Supaya tidak menjadi lebih banyak confiusion (kekeliruan), sebab itu saya jelaskan tadi jangan saya buat apa-apa komen. Saya fikir wajarnya jangan kita buat apa-apa komen dan serahkan kepada pihak menteri yang terlibat dan bertanggungjawab.
"Kedua-duanya itu memang ada kaitan, tetapi siapa yang lebih diberikan tugas dan tanggungjawab itu saya serahkan kepada mereka untuk memutuskan.
"Tetapi seeloknya jangan ada kenyataan yang bercanggah, lebih-lebih lagi yang keluar dari ahli jemaah menteri," katanya pada sidang media selepas melancarkan buku yang ditulis Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad bertajuk "9 Mei 2018 - Dari Garis Depan".
Awal Sabtu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali memaklumkan kerajaan membatalkan projek ECRL disebabkan oleh bayaran faedah yang tinggi yang ditanggung negara.
Namun dua jam kemudian, Menteri Kewangan dilaporkan berkata beliau terkejut atas pengumuman pembatalan projek ECRL itu dan mendakwa Azmin tidak maklum dengan keputusan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
#Azmin Ali #batal #ECRL #Lim Guan Eng #Malaysia #Muhyiddin Yassin
;