Seragam sekolah: Pelajar terjejas banjir dapat kelonggaran dua bulan

Bernama
Mac 19, 2023 16:30 MYT
JPN Johor telah diarahkan untuk mengumpulkan data pelajar dan murid yang terjejas banjir supaya bantuan bersesuaian dapat disalurkan. - Gambar fail
ISKANDAR PUTERI: Pelajar dan murid yang terjejas banjir di Johor mendapat kelonggaran untuk tidak memakai pakaian seragam sekolah hingga dua bulan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Norlizah Noh berkata kelonggaran itu diberikan bagi mengurangkan beban keluarga mangsa banjir yang perlu menggantikan pakaian seragam anak mereka.
Selain itu, pihaknya menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah diarahkan untuk mengumpulkan data pelajar dan murid yang terjejas banjir supaya bantuan bersesuaian dapat disalurkan bukan sahaja pakaian seragam, tetapi juga mereka yang terpaksa mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
"Kementerian Pendidikan juga sudah mengumumkan pelajar terjejas banjir diberi kelonggaran memulakan sesi persekolahan hari ini tanpa memakai pakaian seragam, apatah lagi kita diberitahu banjir di Batu Pahat dijangka berlarutan lebih sebulan atau mungkin dua bulan.
"Oleh itu, pelajar di kawasan terjejas banjir di negeri ini diberi kelonggaran dan dibenarkan tidak memakai seragam sehingga dua bulan lagi," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.
Norlizah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama berkata kerajaan negeri juga akan memantau proses PdPR dan menyalurkan bantuan gajet kepada pelajar terjejas banjir yang tiada peranti untuk mengikuti kelas berkenaan.
"Kita akan kenal pasti jumlah pelajar yang tiada peranti untuk ikuti PdPR dan salurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga mereka," katanya.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata kelonggaran tersebut diberikan kerana pihaknya tidak mahu membebankan ibu bapa dengan mewajibkan mereka membeli pakaian seragam anak sedangkan masing-masing terjejas bencana itu.
Setakat hari ini, kira-kira 2,000 pelajar daripada lima sekolah di negeri ini dilaporkan tidak dapat memulakan sesi persekolahan 2023/2024 hari ini kerana masih terjejas banjir.
Tiga sekolah di Batu Pahat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Mendapat, SK Tanjung Sembrong dan SK Seri Nasib Baik tidak dapat dibuka kerana laluan ke sekolah masih banjir, manakala SK Pogoh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Buloh Kasap di Segamat tidak dibuka disebabkan masalah bekalan elektrik.
Sementara itu, 44 sekolah di daerah Batu Pahat masih dijadikan pusat pemindahan sementara.
-- BERNAMA
#banjir johor #seragam sekolah #pengecualian pakaian seragam #Norlizah Noh
;