'Seperti tidak percaya Sultan Pahang ke-6 singgah sarapan'
Astro Awani
Januari 18, 2019 17:20 MYT
Januari 18, 2019 17:20 MYT
Siapa yang tidak teruja jika restoran atau kedai mereka dikunjungi Raja atau Sultan.
Kejutan itu dialami Rosnida Che Soh dan suaminya Tengku Abdullah Tengku Sulaiman, pengusaha sebuah restoran di Indera Mahkota Kuantan Pahang.
Sultan Pahang Ke-6, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah sering singgah di Restoran D’Wafi di Indera Mahkota untuk bersarapan dan berbual bersama pengunjung setiap kali selesai solat Subuh di Masjid Imam Ash Shafie, Kota SAS Kuantan.
Rosnida terkenang tarikh 20 November 2017 iaitu kali pertama Al-Sultan Abdullah singgah bersarapan iaitu ketika menjadi Pemangku Raja Pahang.
“Mula-mula tahu dia datang tu takutlah. Lepas itu, dah lama datang jadi banggalah, teruja dengan kehadiran tuanku," kata Rosnida.
Rosnida berkata baginda menggemari telur separuh masak, roti canai garing bersama kuah dhal, nasi lemak dan teh o nipis.
Tambah Rosnida, baginda biasanya tiba pada jam 6.35 pagi dan meluangkan masa satu jam bersarapan dan berbual bersama pengunjung.
“Sebelum dan selepas sama, dia memang peramah, pemurah. Suka tanya khabar, suka sembang dengan pelanggan di sini,” katanya lagi.
Tengku Puan Pahang pula datang pertama kali pada Khamis lalu dan baginda mencadangkan Rosnida turut menambah menu nasi berlauk di kedainya.
Beliau yang berniaga sejak 2015 bersama-sama suami amat menjunjung kasih dan gembira di atas kesudian Sultan Pahang Ke-6 mencemar duli berkunjung ke kedai mereka.
#Al-Sultan Abdullah
#Masjid Imam Ash Shafie
#Restoran D Wafi
#Rosnida Che Soh
#Sultan Pahang
#Tengku Abdullah
#Tengku Abdullah Tengku Sulaiman