'Seperti mimpi, semalam bertemu, hari ini sudah tiada'
Bernama
Ogos 10, 2019 18:37 MYT
Ogos 10, 2019 18:37 MYT
"Saya bagaikan bermimpi, tidak percaya kerana pagi semalam baru sahaja kami bertemu. Sebelum berangkat ke ibu kota, suami kerap tersenyum, tetapi hari ini dia sudah tiada," begitulah luahan isteri seorang mangsa yang maut dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (Lebuh AMJ) menghala ke Simpang Ampat, Alor Gajah, malam tadi.
Loh Sy Huey, 49, berkata seperti biasa setiap hari suaminya, Wang Chow Kuang, 51, akan berulang alik sama ada dari Melaka ke Kuala Lumpur, Selangor atau Singapura selain terbang ke China atau Vietnam atas urusan perniagaan.
"Dia seorang yang sangat kuat bekerja, saya tahu dia penat kerana sentiasa berulang alik ke sana dan ke sini. Walaupun dia penat, dia tidak pernah tunjukkan rasa letih itu kepada saya dan anak-anak. Tak sangka hanya kira-kira 23 tahun sahaja saya dapat hidup bersama dengannya.
"Bahkan dia seorang suami yang baik, penyayang dan sentiasa memanjakan dua anak perempuannya. Mungkin tuhan cemburu dengan kebahagiaan kami," katanya sambil teresak-esak kepada Bernama ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka di sini hari ini.
Beliau berkata ketika kejadian berlaku, Wang dan anak perempuannya Wang Yi Tong, 21, yang belajar di Universiti Sunway, Subang Jaya dalam perjalanan pulang ke rumah di Machap Omboo, Alor Gajah.
"Saya mendapat panggilan kira-kira 9.55 malam tadi mengatakan suami dan anak saya terlibat kemalangan yang mana salah seorang daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian, saya tercengang dan tidak dapat berkata apa-apa," kata ibu kepada dua anak itu.
Menurut Loh, anaknya mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka sudah mula sedar, namun dia masih lagi dalam keadaan yang lemah.
Katanya, jenazah suaminya akan dibawa pulang ke rumahnya di Machap Omboo dan akan dikebumikan di pusat pengebumian di kawasan itu pada Selasa depan.
Selain suaminya, lima sekeluarga turut terkorban dalam kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan iaitu Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max serta sebuah treler tanpa muatan pada 9.40 malam semalam.
Kejadian itu turut menyebabkan anak perempuannya mengalami cedera parah, manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan.
-- BERNAMA
#bagaikan mimpi
#Isuzu D-Max
#kemalangan Alor Gajah
#Lebuh Alor Gajah
#Lebuh AMJ
#Loh Sy Huey
#luahan isteri
#Mitsubishi Triton
#simpang ampat
#Wang Chow Kuang