'Seperti mati hidup semula' - Bekas pesakit COVID-19
Afiezul Samit
Januari 31, 2021 20:30 MYT
Januari 31, 2021 20:30 MYT
KUCHING: Seperti mati hidup semula.
Situasi itu yang ditempuhi bekas pesakit COVID-19 di Sarawak yang pulih selepas bertarung nyawa puluhan hari di bilik rawatan dengan hanya bertemankan mesin pernafasan.
Mohamad Ghazali Abdul Rahman contohnya, bekas pesakit COVID-19 dari Kluster Patingan yang terlantar lebih 50 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) sehingga berat badannya hilang 30 kilogram.
"Lebih 50 hari saya berada di ICU memakai mesin pernafasan yang saya anggap seperti ditidurkan. Saya tidak tahu apa-apa sepanjang waktu itu.
"Apabila sedar, saya rasa perubahan pada diri, mata semakin cengkung, kulit badan kuning, sukar untuk bercakap secara normal. Semua ini adalah pengalaman yang saya tempuhi. Ia seperti mati hidup semula," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada di rumahnya pada Ahad.
Menceritakan lebih lanjut, Mohamad Ghazali berkata, dia turut kehilangan ibu dan dua adiknya akibat virus kejam tersebut.
Akui kerani insurans itu lagi, kehilangan seorang demi seorang ahli keluarga memberi tekanan kepada dirinya yang sedang menerima rawatan.
"Selepas menerima berita itu, dalam pemikiran, saya mungkin ahli keluarga keempat yang meninggal dunia akibat virus ini. Mula-mula ibu saya, kemudian adik perempuan sebelum yang ketiga adik lelaki saya," katanya.
Selepas sembuh, Mohamad Ghazali berdepan dengan satu lagi ujian yang nyata iaitu stigma masyarakat ke atas bekas pesakit COVID-19 sepertinya.
Tidak keterlaluan katanya, dia sangat tersinggung selain berasa disisihkan masyarakat. Namun, keluarga dan rakan terdekat sentiasa ada untuk dia terus kuat berdepan 'penyakit stigma' itu.
"Mula-mula bila saya disahkan bebas virus itu, saya mahu ke surau tetapi ada yang minta saya pulang. Sedih memang sedih. Tetapi itu dulu, sekarang tiada masalah lagi," katanya.
#Mohamad Ghazali Abdul Rahman
#bekas pesakit COVID-19
#Kluster Patingan
#COVID-19
#Hospital Umum Sarawak
#Sarawak