Sepentas secara maya, ini atur cara malam kemuncak pemimpin APEC

Harits Asyraf Hasnan
November 20, 2020 08:00 MYT
Mesyuarat secara maya itu akan bermula pada 8 malam, seiring 8 zon waktu berbeza melibatkan kesemua pemimpin anggota ekonomi APEC. - Foto Fail / APEC 2020
KUALA LUMPUR: Para pemimpin 21 anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) buat julung kalinya bakal sepentas secara maya dalam menentukan pelan tindakan pemulihan ekonomi serantau yang teruk dibadai pandemik COVID-19.
Komited memastikan aliran perdagangan yang lancar dalam keadaan krisis kesihatan dunia, Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) itu bakal dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tepat jam 8 malam ini.
Menggenggam azam memuktamadkan Visi Pasca-2020 yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi dalam tempoh 20 tahun akan datang, tanggungjawab Malaysia amat penting untuk merangka visi yang akan menggantikan Matlamat Bogor.
Malah, para delegasi akan turut memutuskan Deklarasi Pemimpin yang gagal dicapai sejak dua tahun lalu seiring tema penganjuran tahun ini iaitu ‘Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran’.
Multilateralisme termasuk komitmen terhadap perdagangan serta pelaburan bebas dan terbuka, juga dijangka bakal menjadi agenda perbincangan selama tiga jam itu.
Selepas ucapan pembukaan oleh Muhyiddin, mesyuarat akan diteruskan dengan Laporan Unjuran Ekonomi Global oleh Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva.
Ia akan disusuli dengan sesi kedua mesyuarat tersebut iaitu ucapan intervensi selama tiga minit oleh semua pemimpin APEC.
Sebelum itu,Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob akan membentangkan versi akhir Visi APEC Pasca 2020 kepada semua pemimpin.
Sesi intervensi akan dimulakan oleh Perdana Menteri Australia, Scott Morrison diikuti Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Ia akan diikuti oleh Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau; Presiden Chile, Sebastian Pinera; Presiden China, Xi Jinping dan Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam.
Sesi intervensi itu akan diteruskan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo; Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga; Presiden Korea Selatan, Moon Jae-In dan wakil Presiden Mexico, Graciela Marquez Colin sebelum kesemua pemimpin berehat selama 10 minit.
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern akan meneruskan sesi intervensi diikuti Perdana Menteri Papua New Guinea, James Marape; Presiden Peru, Francisco Rafael Sagasti dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.
Ia akan disusuli oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; wakil Presiden Taiwan, Dr Morris Chang; Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha; Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan yang terakhir Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc.
Sejurus selesai sesi intervensi, Muhyiddin akan meminta para pemimpin untuk mempersetujui dan menerima pakai Visi APEC Pasca 2020 - yang merupakan sesi kemuncak kepada mesyuarat kali ini.
Sebelum menyerahkan penganjuran kepada New Zealand selaku tuan rumah APEC 2021, Muhyiddin akan membacakan Deklarasi Pemimpin, mengumumkan persetujuan serta terima pakai deklarasi tersebut.
Muhyiddin akan mengakhiri mesyuarat maya itu dengan menyampaikan ucapan penutup dan berterima kasih kepada semua pemimpin yang menyertai mesyuarat itu.
Selepas ditubuhkan pada 1989, ekonomi APEC menyumbang 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia dan 48 peratus daripada perdagangan global.
Malaysia menjadi tuan rumah APEC buat kali kedua selepas pada 1998.
#APEC 2020 #MyAPEC2020 #Muhyiddin Yassin #Donald Trump #Joko Widodo #Vladimir Putin #Lee Hsien Loong #Rodrigo Duterte #Xi Jinping #IMF #Tabung Kewangan Antarabangsa #COVID-19 #pandemik #Malaysia #Matlamat Bogor
;