Sepatutnya DAP letak Mat Sabu bertanding di Bukit Gelugor - Hishamuddin Rais
Irwan Muhammad Zain
Mei 5, 2014 07:00 MYT
Mei 5, 2014 07:00 MYT
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
KUALA LUMPUR: DAP sepatutnya meletakkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor, kata Hishamuddin Rais.
Hishamuddin berkata jika DAP berani mengambil langkah sedemikian ia akan memberi impak yang besar dalam perjalanan politik Pakatan Rakyat terutama PAS.
Katanya, rakyat akan melihat disebalik kontroversi hudud yang dikatakan merenggangkan hubungan antara DAP dan PAS, dua parti itu masih boleh bekerjasama.
"Sepatutnya Mat Sabu bertanding di Bukit Gelugor, DAP sepatutnya beri peluang kepada Mat Sabu kerana ini boleh mengejutkan.
"Rakyat akan terkejut, UMNO juga akan terkejut, isu hudud boleh tengelam kalau DAP beri peluang kepada Mat Sabu," katanya dalam satu forum bertajuk "PRU14: Apakah ada lagi tsunami politik?" di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), di sini, malam tadi.
Mengulas mengenai tsunami politik dalam PRU14, bekas pemimpin pelajar tahun 70an itu berkata ia hanyalah satu ilusi semata-mata.
"Tsunami politik hanyalah ilusi semata-mata kerana Pakatan Rakyat bukan melawan UMNO dan Barisan Nasional, sebaliknya melawan sistem.
"Sistem pilihanraya itu yang perlu dijatuhkan jika mahukan perubahan kerajaan dalam negara ini," katanya lagi.
Selain, Hishamuddin, Ahli Parlimen Kluang dari DAP, Liw Chin Tong turut menjadi salah seorang ahli panel forum tersebut.
Chin Tong ketika mengulas peranan partinya berkata, beliau berharap jika Pakatan Rakyat dipilih membentuk kerajaan, DAP tidak akan menjadi MCA 2.0 dan PAS pula tidak menggantikan UMNO.
"Saya harap kalau Pakatan Rakyat jadi kerajaan, matlamat PAS bukan untuk menggantikan UMNO tetapi mahu membawa sistem baru kepada rakyat Malaysia.
"Begitu juga saya berharap kalau Pakatan Rakyat menang PRU akan datang, DAP tidak akan menjadi MCA 2.0, DAP perlu bersuara untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira Muslim atau Non-Muslim," katanya.
Sementara seorang lagi ahli panel, Wan Hamidi Hamid pula berkata kejayaan Pakatan Rakyat pada PRU13 yang lalu bukanlah kerana tsunami Cina sebaliknya kerana tsunami bandar dan separuh bandar.
Wan Hamidi berkata, undi di kawasan luar bandar terutama undi orang Melayu masih gagal diraih Pakatan Rakyat terutama oleh DAP
"Selepas PRU13, DAP dan Pakatan Rakyat masih tidak fokus kepada usaha untuk menarik sokongan di luar bandar iaitu undi orang Melayu," katanya.