Sepasang suami isteri dituduh curi balak
Astro Awani
Februari 12, 2014 16:29 MYT
Februari 12, 2014 16:29 MYT
Sepasang suami isteri telah dihadapkan ke mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas lima tuduhan mencuri balak yang mengakibatkan kerugian kepada hasil kerajaan negeri perak sebanyak RM4.2 juta.
Leow Fah Yong, 42 dan isterinya, Yew Wai Peng, 41, dituduh bersama mencuri balak di hutan Simpan Bukit Kinta, Mukim Teja, Simpang Pulai antara 16 Januari 2010 dan 6 Mac 2010.
Kedua tertuduh yang dibela peguam Shahidah Mohd Ghazali mengaku tidak bersalah atas kelima-lima tuduhan itu dan minta dibicarakan.
Mereka menghadapi menghadapi kelima-lima tuduhan itu di bawah Seksyen 15 akta Perhutanan Negara 1984 yang membawa hukuman denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit dan penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih daripada dua puluh tahun.
Hakim Noor Hayati Mat membenarkan kedua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 25 Mac depan.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Abd Wahab kes ini dianggap serius kerana ia membabitkan kegiatan mencuri hasil balak yang mengakibatkan kerajaan negeri kehilangan hasil.
"Pertuduhan hari ini adalah satu kes yang serius di mana hasil hutan telah dicuri jadi di bawah Seksyen 15, ini adalah satu kesalahan yang serius dan pihak pendakwaan mengambil serius tentang perkara ini, kes ini melibatkan pasangan suami isteri," kata beliau.
Beliau memberitahu pemberita di Mahkamah Seysen Ipoh pada Rabu.