Sepasang suami isteri ditahan kerana terlibat dalam memproses dadah di Kelantan

Astro Awani
Februari 20, 2014 21:25 MYT
Sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh berjaya mematahkan cubaan sebuah kumpulan yang disyaki cuba memproses dadah di Kampung Gong Pasir, di sini.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Mohd Kamal Zainal berkata dalam serbuan kira-kira 1.45 petang semalam, pihaknya turut menahan sepasang suami isteri,masing-masing berusia 47 tahun dan 42 tahun serta seorang lelaki berusia 37 tahun.
Mohd Kamal berkata ketiga-tiga suspek yang berasal dari daerah ini ditahan selepas serbuan di rumah berkenaan menemui pelbagai jenis bahan-bahan kimia seperti cecair berwarna merah keemasan, ketulan pepejal berwarna merah hitam, picagari serta pelbagai peralatan dapur seperti periuk nasi dan peti ais.
“Berdasarkan pengalaman, bahan-bahan tersebut disyaki sebagai cubaan untuk memproses dadah. Kita belum dapat memastikan jenis cecair dan ketulan pepejal yang dirampas itu dan spesimen akan dihantar ke jabatan kimia untuk dianalisa,”.
Beliau berkata demikian di sidang akhbar di IPD Pasir Puteh di sini siang tadi.
Beliau berkata serbuan tersebut yang turut mendapat kerjasama daripada JSJN IPK Kelantan disifatkan sebagai kejayaan terbesar polis daerah itu pada tahun
ini.
Selain itu, beliau turut memuji kerjasama daripada penduduk setempat yang bertindak menyalurkan maklumat selepas mendapati ketiga-tiga suspek berada dalam keadaan mencurigakan di rumah yang disewa oleh kumpulan berkenaan hampir sebulan yang lepas.
Katanya pihaknya terharu dan bangga dengan tindakan berani dan komitmen masyarakat setempat yang prihatin dengan menyalurkan maklumat kepada pasukan polis sehingga tertangkapnya ketiga-tiga suspek tersebut.
Ketiga-tiga suspek yang positif dadah jenis meth hasil saringan air kencing ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Rabu depan.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.
#Dadah #JSJN #Kampung Gong Pasir #memproses dadah #Mohd Kamal Zainal #Pasir Puteh #polis #suami isteri
;