Sepasang kekasih ditahan kerana curi, jual kambing

Dewi Nur Harasha Alias
November 14, 2020 15:40 MYT
Dua daripada enam ekor kambing yang berjaya ditemui semula oleh polis. - Gambar ihsan PDRM
BUTTERWORTH: Tindakan sepasang kekasih mencuri dan menjual kambing untuk mencari wang untuk menyambut Deepavali membawa padah apabila mereka ditahan polis.
Pasangan berusia 24 dan 25 tahun itu ditahan di Mak Mandin, di sini sekitar pukul 9.30 malam selepas didapati mencuri enam ekor kambing milik seorang lelaki di bandaraya ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, turut ditahan bersama pasangan itu, seorang lelaki berusia 35 tahun yang membeli kambing berkenaan.
Menurut Noorzainy, polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 32 tahun berhubung kehilangan enam ekor kambing peliharaan di kandangnya pada 10 November lalu.
Susulan laporan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun bersama dua ekor kambing curi yang dibeli daripada seorang lelaki dan wanita.
Polis kemudian menahan pasangan berkenaan dan mereka mengaku telah menjual semua kambing tersebut pada harga RM300 untuk dua ekor.
"Empat ekor kambing sudah berjaya dijual manakala dua ekor berjaya ditemui semula.
"Ketiga-tiga individu termasuk lelaki yang membeli kambing curi itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau," katanya hari ini.
Noorzainy berkata, pasangan kekasih tersebut dipercayai menjalankan kegiatan tersebut untuk mencari wang bagi menyambut perayaan Deepavali.
Kesemua mereka kini direman untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
#sepasang kekasih #curi kambing #jual kambing #Deepavali #wang belanja #Mak Mandin #Butterworth
;