Separuh pekerjaan di negara ini tidak perlu tenaga manusia. Apa penyelesaiannya?
Firdaus Azil
Januari 6, 2018 10:23 MYT
Januari 6, 2018 10:23 MYT
Memasuki 2018, lebih separuh daripada jumlah pekerjaan sedia ada di Malaysia sudah menghadapi risiko tidak memerlukan tenaga manusia untuk melakukannya.
Namun, ini tidak bermakna mana-mana syarikat atau organisasi hanya membiarkannya tanpa melakukan apa-apa perubahan, kata Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp Malaysia Bhd, Shareen Shariza Abdul Ghani.
Sebaliknya, majikan atau pihak pengurusan boleh mengubah dan mempengaruhi serta melengkapi golongan pekerja dengan gaya pemikiran dan kemahiran tertentu bagi membolehkan mereka beradaptasi dengan perubahan landskap pekerjaan, katanya.
"Ini mungkin mengambil masa, namun kita harus mula mengubah cara pemikiran kita dan melaksanakan inisiatif yang tepat supaya tiada pekerja yang akan ketinggalan. Kita tidak lagi boleh memandang pekerjaan atau kerjaya kita dengan pandangan satu arah (tunnel vision) sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Shareen Shariza berkata, dalam menangani isu ini, TalentCorp sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab memacu strategi pengembangan bakat di negara ini, telah menjalinkan kerjasama rapat dengan Talent Compact 4.0, iaitu sebuah panel penasihat bebas industri untuk menjalankan kajian impak.
Kajian itu, katanya, telah mengenal pasti peluang-peluang serta kelemahan-kelemahan berbangkit berkenaan masa depan pekerjaan di negara ini dalam sektor-sektor keutamaan dan juga sektor ekonomi.
Berdasarkan kajian itu, TalentCorp merumuskan organisasi perlu memikirkan semula model bisnes mereka serta mencari jalan untuk mengekal dan mengembangkan bakat pekerja mereka.
"Sejajar dengan ini, industri dan organisasi perlu, secara serentak, berinovasi dalam usaha untuk kekal relevan dan kompeten, seperti memastikan keseimbangan antara kehidupan serta kerjaya pekerja mereka.
"Dengan cabaran-cabaran yang timbul pada masa kini, kita memerlukan ekosistem yang kukuh, terdiri daripada kerajaan, sektor swasta, golongan akademik serta pemegang kepentingan utama yang berkongsi agenda sama iaitu memastikan tenaga kerja di negara ini 'future-proof'," katanya lagi.
#ekonomi
#kerajaan
#Malaysia
#modal insan
#organisasi
#Shareen Shariza
#Talent Compact 4 0
#TalentCorp
#tenaga kerja