BEIJING:Sepanyol pada Selasa melaporkan 267 kematian untuk tempoh 24 jam lalu, jumlah kematian tertinggi dicatatkan pada gelombang kedua COVID-19 dengan 18,418 jangkitan, kata Kementerian Kesihatan lapor agensi berita Xinhua.

Jumlah jangkitan sejak bermulanya wabak di negara ini kini berjumlah 1,116,738 dan 35,298 orang meninggal dunia.

Di Argentina, Presiden Alberto Fernandez yakin satu set vaksin untuk memerangi COVID-19 akan tersedia pada Mac tahun depan.

Negara ini sedang menjalankan "rundingan" dan akan mengadakan perjanjian dengan semua makmal yang mengusahakan vaksin, katanya.

Di Paris angka kematian melonjak 523 orang menjadikan keseluruhan 35,541, kenaikan harian tertinggi sejak akhir April.

Menurut angka yang dipaparkan di laman web kerajaan, jumlah kes disahkan sejak wabak mula dikesan di Perancis berjumlah 1,198,695.

Di Santiago 922 kes baharu didaftarkan dalam masa 24 jam, pertama kali kes harian baharu di bawah angka 1,000, sejak Mei, kata Menteri Kesihatan Enrique Paris pada Selasa.

"Ini petanda penting dan menyeru rakyat terus berwaspada serta mengamalkan langkah pencegahan," kata Paris dalam satu kenyataan.

Sementara itu, di Mexico City Datuk Bandarnya Claudia Sheinbaum di Twitter mengesahkannya positif COVID-19.

Di Kanada pula mencatatkan jumlah korban seramai 10,001, menurut CTV.

-- BERNAMA