Seorang terbunuh, empat cedera akibat letupan bom ikan
Bernama
Disember 3, 2015 21:39 MYT
Disember 3, 2015 21:39 MYT
Seorang terbunuh manakala empat cedera dipercayai akibat terkena letupan bom ikan di sebuah rumah setinggan atas air di Kampung Hidayat, Pulau Bum-Bum di Semporna semalam.
Mangsa dikenali sebagai Julpi Elexson, 6, yang mati ditempat kejadian, manakala yang cedera dikenali sebagai Masitah Elexson, Rashi Elexson, Dantai Kaldi dan Noaidah Tirun, yang dipercayai melarikan diri dan sedang diburu polis.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku apabila sembilan anggota dari satu keluarga cuba memasang perkakas bom ikan dan ketika memasangnya bom itu tiba-tiba meletup.
"Laporan awal diterima polis, ada seorang kanak-kanak mencampak bom di kawasan rumah itu. Namun, siasatan lanjut mendapati kejadian itu berlaku bila sembilan ahli dalam satu keluarga cuba untuk memasang perkakas bom ikan, namun ketika memasangnya ia tiba-tiba meletup," katanya dalam sidang media hari ini.
Jalaluddin berkata bapa mangsa Elexson Jundai, 50, telah mengebumikan mayat mangsa semalam dan tidak melaporkan kepada sesiapa sehingga maklumat berkenaan disampaikan orang ramai kepada polis lewat malam tadi.
Tambahnya, polis telah menangkap suspek dan meminta perintah mahkamah untuk tujuan menggali semula kubur mangsa bagi tujuan bedah siasat serta bagi melengkapkan siasatan.
Kesemua mangsa tidak memiliki kad pengenalan diri.
Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata polis telah melaksanakan tindakan bersepadu bagi membanteras gejala judi di negeri ini menerusi Op Dadu bagi menumpaskan penularan kegiatan mesin perjudian haram.
Bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, beliau berkata, polis Kontinjen Sabah telah membuat 64 serbuan di pelbagai daerah dan daripada serbuan itu 391 orang ditangkap dan 587 komputer termasuk tablet dirampas selain merampas wang berjumlah RM22,295.
Katanya satu gerakan besar-besaran juga telah dibuat secara serentak membabitkan seluruh kontinjen bermula 23 November hingga 5 Disember ini membabitkan daerah Tuaran, Tawau, Penampang, Papar, Kudat dan Kota Kinabalu.
Beliau berkata hasil operasi bersepadu itu, polis telah menangkap 63 orang, merampas 112 set mesin pelbagai jenis dan wang RM1,650.
"Polis Sabah akan mempertingkatkan lagi serbuan dari masa ke masa bagi menangani kegiatan mesin perjudian haram di negeri ini," katanya.