Seorang rentung nahas empat kenderaan

Siti Nur Aqilla Omar
Julai 25, 2022 10:45 MYT
Video tular memaparkan kebakaran ketika nahas membabitkan empat kenderaan berlaku berhampiran Jambatan Permas Jaya, Lebuhraya EDL.
JOHOR BAHRU: Seorang ditemui rentung dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan berhampiran Jambatan Permas Jaya, Lebuhraya EDL, Pasir Gudang menghala ke Bakar Batu, awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd Faiz Sulaiman berkata, mangsa rentung tersepit di bahagian pemandu kereta BMW yang terbakar sebanyak 90 peratus.
Katanya kemalangan membabitkan tiga kereta iaitu jenis BMW, Produa Myvi dan Honda City serta sebuah van pekerja kilang jenis Nissan.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis BMW, terbakar 90 peratus, sebuah van pekerja kilang jenis Nissan, terbakar 90 peratus, sebuah kereta jenis Perodua Myvi, terbakar 60 peratus serta sebuah kereta Honda City, tidak terbakar, akibat kemalangan jalan raya.
"PKO bertindak membuat pemadaman dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula dan air tangki pam jentera.
"PKO bertindak mengeluarkan mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Faiz berkata, pemandu Honda City dan Produa Myvi masing-masing lelaki berusia 34 dan 52 tahun selamat.
"Seramai 13 anggota digerakkan ke lokasi dengan bantuan BBP Johor Jaya bagi usaha memadam kebakaran," katanya.
#Nahas #rentung #Mohd Faiz Sulaiman #terbakar
;