Seorang remaja maut, tujuh cedera, kemalangan empat kenderaan di Sungai Siput

Abd Razak Mohd Ali
September 2, 2022 16:35 MYT
Beginilah keadaan tiga daripada empat kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berhampiran Kilang Kicap Tamin di Enggor, Sungai Siput, hari ini. - Gambar ihsan JBPM
SUNGAI SIPUT: Seorang remaja perempuan maut, manakala tujuh orang lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan empat buah kenderaan berhampiran Kilang Kicap Tamin di Enggor, dekat sini, hari ini.
Mangsa, Nur Aisyah Idris, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kemalangan melibatkan kenderaan jenis Perodua Alza, Honda City, Perodua Axia dan lori jenis Hino.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 1.53 petang.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati kemalangan jalanraya melibatkan empat buah kenderaan telah berlanggar, melibatkan sembilan mangsa tetapi tiada mangsa tersepit,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut jurucakap itu lagi, mangsa yang meninggal dunia merupakan penumpang kereta Axia.
Sementara tujuh mangsa yang cedera pula ialah pemandu Axia, pemandu dan empat penumpang Alza serta pemandu Honda City.
Pemandu lori, bagaimanapun, tidak mengalami kecederaan.
“Anggota bomba membuat rawatan awal kepada mangsa yang cedera serta menyerahkan mangsa yang maut kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fauzi Hashim tamat pukul 3.25 petang.
#remaja maut #tujuh cedera #kemalangan #empat kenderaan
;