Seorang remaja ditemui lemas, seorang masih hilang di Pantai Tanjung Balau
Muhammad Aiman Hakeem
Januari 22, 2023 18:28 MYT
Januari 22, 2023 18:28 MYT
KOTA TINGGI: Kegembiraan dua remaja yang dipercayai sedang bermandi-manda di Pantai Tanjung Balau, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, manakala seorang lagi dilaporkan masih hilang, setakat 3 petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Sufian Dahari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu sekitar jam 1.26 tengah hari tadi.
Katanya, mayat remaja berusia 16 tahun itu ditemukan oleh pengunjung pantai, dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian.
"Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan bagi mengesan seorang lagi mangsa yang berusia 17 tahun yang dilaporkan masih hilang.
"Seramai 26 orang anggota dari lima unit BBP bersama tujuh buah jentera digerakkan bagi memperkasa operasi.
"Usaha pencarian menggunakan kaedah surface searching dalam radius 500 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Operasi diperkasakan dengan penyertaan 28 anggota dan pengawai dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan KKM.
Usaha mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan setakat 5.00 petang tadi.