Seorang rakyat Malaysia antara 61 mangsa penipuan dalam talian diselamatkan di Myanmar

Bernama
Februari 7, 2025 23:03 MYT
Kedutaan Malaysia di Bangkok telah mengesahkan identiti warganegara Malaysia itu dengan pihak berkuasa Thailand. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia adalah antara 61 individu yang diselamatkan daripada sindiket pemerdagangan manusia dan penipuan dalam talian di Myanmar sebelum dihantar pulang ke Thailand pada Khamis.
Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui mengesahkan bahawa lelaki warga Malaysia berusia 32 tahun dari Perak itu tiba di Mae Sot, Wilayah Tak pada hari yang sama.
"Kedutaan Malaysia di Bangkok telah mengesahkan identiti warganegara Malaysia itu dengan pihak berkuasa Thailand.
"Kedutaan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi proses penghantaran pulang selepas mekanisme rujukan kebangsaan (NRM) selesai," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.
Individu yang diselamatkan itu sedang menjalani proses saringan di bawah NRM bagi mengesahkan status mereka sebagai mangsa pemerdagangan manusia serta menilai sebarang kemungkinan penglibatan dalam aktiviti jenayah sebelum dihantar pulang.
Menurut laporan Xinhua, seramai 61 warga asing, termasuk 39 rakyat China, 13 rakyat India, lima rakyat Indonesia serta masing-masing seorang dari Ethiopia, Pakistan, Malaysia dan Kazakhstan, diserahkan oleh Pasukan Pengawal Sempadan Myanmar kepada pihak berkuasa Thailand di pos pemeriksaan sempadan Mae Sot di Wilayah Tak.
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, bertemu mangsa di Pejabat Imigresen Tak di Mae Sot pada Khamis.
Dalam usaha membanteras operasi sindiket penipuan dalam talian, Thailand telah memutuskan bekalan elektrik, Internet dan bahan api ke lima bandar sempadan Myanmar berhampiran utara negara itu bermula Rabu, dengan alasan kebimbangan keselamatan negara serta kesan buruk yang serius akibat kegiatan jenayah tersebut.
-- BERNAMA
#warga Malaysia #mangsa sindiket #penipuan dalam talian #Myanmar #mangsa diselamatkan
;