Seorang peraih undi PRK Teluk Intan cedera

Bernama
Mei 27, 2014 22:45 MYT
Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani. -Gambar Fail
Seorang peraih undi Barisan Nasional (BN) cedera di leher selepas ditumbuk dan ditendang oleh seorang lelaki semasa berkempen di Taman Desa Aman di sini tengah hari semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata wanita itu berusia 50-an dan merupakan anggota Parti Progresif Penduduk (PPP) dalam laporan polisnya mendakwa telah ditendang dan ditumbuk di leher semasa berkempen dari rumah ke rumah di taman perumahan itu bersama-sama tiga lagi rakannya pada pukul 1.30 tengah hari semalam.
Wanita itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, 20 minit selepas kejadian dan kes sedang disiasat, katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan pengundian awal pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan di Dewan Serba Guna, Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, di sini hari ini.
Beliau berkata lelaki yang didakwa mencederakan wanita itu turut membuat laporan polis semalam dengan mendakwa wanita tersebut cuba mencuri buah mangga dan daun karinya sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.
Menyentuh perjalanan kempen PRK itu yang memasuki hari kesembilan, Acryl Sani berkata suasana keseluruhannya adalah terkawal dan tenang.
"Dalam mana-mana pilihan raya, tentulah ada sedikit insiden kecil-kecil berlaku yang timbul atas dasar tidak faham dan teruja, tetapi ia tidak melarat sehingga menyebabkan perkara buruk berlaku. Setakat ini kita mampu mengawal keadaan," katanya.
Acryl Sani menasihatkan semua penyokong calon pilihan raya supaya menjaga perlakuan masing-masing dan elakkan perkara yang boleh mencetuskan provokasi termasuk membuat khianat terhadap poster kempen calon yang bertanding serta mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan suasana yang tidak diingini.
"Polis juga mendapati pasukan pemantau kempen pilihan raya yang ditubuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan tanggungjawab mereka. Kita jangka suasana aman dan tenang ini akan berterusan sehingga hari pengundian Sabtu ini," katanya.
Polis juga akan memastikan keadaan lalu lintas di Teluk Intan lancar kerana menjangkakan pengundi berdaftar yang tinggal di luar kawasan akan pulang bagi menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK ini, selain menyambut perayaan masyarakat Cina, katanya.
PRK kerusi Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.
#BN #cedera #ditendang #ditumbuk #leher #peraih undi #PPP #Taman Desa Aman
;