Seorang pelajar maut, 37 cedera dalam kemalangan libatkan bas dan SUV
Bernama
Mei 23, 2019 22:50 MYT
Mei 23, 2019 22:50 MYT
Seorang pelajar kolej vokasional meninggal dunia sementara 37 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas henti-henti Mybas, dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Nissan X-Trail di Jalan Pantai-Bukit Tangga, Jelebu, hari ini.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar mengesahkan seorang mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Muhammad Firdaus Syahrul Azam, 17, pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang.
Beliau turut mengesahkan seramai 37 mangsa dilaporkan cedera termasuk empat orang kini dirawat di zon merah dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 3.45 petang tadi.
Katanya seramai 14 orang mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban yang mana empat mangsa dirawat di zon merah, tujuh di zon kuning dan tiga dirawat sebagai pesakit luar.
"Selain itu, seramai 23 mangsa dibawa ke Hospital Jelebu iaitu 12 kini di zon kuning manakala 11 mangsa dirawat sebagai pesakit luar," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata pemandu bas lelaki yang berusia 51 tahun kini dirawat di Zon Kuning dan cedera di kepala dan patah kaki kirinya sementara pemandu X-Trail seorang wanita berusia 58 tahun mengalami luka di kepala.
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian ini dipercayai berlaku antara bas yang membawa penumpang terdiri daripada 11 pelajar MRSM Kuala Klawang, 20 pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang dan tiga orang awam dan Nissan X-Trail yang terdiri dari tiga orang penumpang termasuk pemandu.
"Kedua-dua kenderaan sedang bergerak dari Kuala Klawang menuju ke Seremban.
"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu bas dipercayai gagal mengawal kenderaan dan melanggar Nissan X-Trail dari belakang, dari arah yang sama, menyebabkan kedua-dua kenderaan ini terbabas ke lereng bukit lalu terbalik," katanya.
Akibat kemalangan salah seorang penumpang bas, pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, katanya.
Mayat Muhammad Firdaus dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk post mortem.
Mohd Nor Marzukee berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
#bas
#Hospital Jelebu
#Hospital Tuanku Ja'afar
#Jalan Pantai-Bukit Tangga
#Jelebu
#kemalangan
#Kolej Vokasional Kuala Klawang
#lereng bukit
#mangsa
#maut
#Mohd Nor Marzukee Besar
#MRSM Kuala Klawang
#Muhammad Firdaus Syahrul Azam
#pelajar
#pesakit luar
#siasatan
#SUV