Seorang pekerja kilang melecur, jengkaut dipandu terbakar

Astro Awani
Januari 10, 2022 17:37 MYT
Beginilah keadaan jengkaut selepas terbakar sehingga menyebabkan seorang pekerja kilang cedera. - Gambar ihsan Bomba
PERAI: Seorang pekerja kilang cedera selepas jengkaut yang dipandunya terbakar dalam kejadian di sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Bebas Perai, Pulau Pinang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi tadi, mangsa Muhammad Hafiz Sulaiman, 29, melecur pada badan dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan.
Jurucakap bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 11.07 minit pagi.
"Apabila pasukan bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian, didapati benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah jengkaut. Peratusan kemusnahan kebakaran dianggarkan 40 peratus," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Kebakaran turut melibatkan sebahagian kecil struktur bangunan kilang tersebut.
Katanya, kebakaran telah dipadamkan oleh pekerja kilang sebelum anggota bomba tiba di lokasi.
Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 12.02 tengah hari.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
#pekerja kilang melecur #jengkaut terbakar #melecur pada badan #Hospital Seberang Jaya
;